PERKHABARAN gembira buat peminat-peminat futsal tanah air apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan ranking baharu pasukan negara berada di kedudukan ke-51 dunia dan kesembilan untuk zon Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Akhir bulan lalu, skuad negara berjaya menaiki dua anak tangga dengan memperbaiki kedudukan daripada 59 kepada 57 dan kejayaan layak ke final Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2017 kelmarin dilihat memainkan faktor utama peningkatan ketara tersebut.
Bagaimanapun ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong menggesa anak-anak buahnya tidak terlalu terbawa-bawa dengan ranking baharu itu, sebaliknya menuntut fokus penuh menjelang aksi penting menentang Thailand (ranking ke-17 dunia), di pentas final Futsal AFF 2017 di Stadium Tertutup Phu Tho, Ho Chi Minh hari ini.
Jelas Chun Yong, perjuangan anak-anak buahnya masih jauh dan mereka perlu bekerja lebih keras jika mahu berdiri sebaris dengan negara-negara terbaik futsal seperti Brazil, Sepanyol, Iran, Jepun dan Thailand.
“Saya sendiri terkejut dengan pengumuman itu tetapi kami masih ada tugas belum selesai. Anak-anak buah saya boleh menjadikan berita ini sebagai suntikan motivasi untuk bertemu Thailand.
“Secara peribadi, saya gembira kenaikan ranking itu tetapi berpendapat kita masih boleh melangkah lebih jauh. Apa yang penting sekarang, kami wajib fokus 100 peratus untuk bertemu Thailand esok (hari ini),” katanya semalam.
Skuad negara layak ke pentas final selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Vietnam 5-1, manakala Thailand mengalahkan Myanmar 8-3 kelmarin.
Dalam perkembangan sama, Chun Yong tidak mahu anak-anak buahnya berasa tertekan bertemu Thailand yang dianggap sebagai pasukan pilihan, sebaliknya bekas pemain kebangsaan itu menggesa skuad negara perlu ghairah melakarkan kejutan kepada pasukan yang menduduki tangga ketiga terbaik bagi zon AFC itu.
0 comments:
Post a Comment