SKUAD boling lima sepasukan wanita negara berjaya menamatkan kemarau 10 tahun untuk muncul selaku juara dunia pada Kejuaraan Boling Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat semalam.
Wira-wira negara yang dibarisi oleh Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi serta Natasha Roslan itu beraksi cemerlang untuk menjinakkan musuh tradisi, Singapura 2-0 pada aksi final yang berlangsung di South Point Bowling Plaza.
Menurut Syaidatul Afifah, kemenangan mereka itu sebenarnya terhasil menerusi semangat berpasukan, strategi serta komunikasi yang sempurna. “Sudah tentu saya serta rakan-rakan lain berasa sangat gembira.
Secara peribadi, saya masih tidak percaya kami boleh menang dan muncul sebagai juara dunia bagi acara berpasukan wanita. “Kemenangan ini hadir menerusi kerjasama berpasukan. Kami sentiasa berbincang bagi merencana strategi yang baik untuk menundukkan pasukan lawan.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat besar dalam karier saya sebagai atlet boling. Pada masa sama, ia juga telah memberi motivasi yang hebat untuk kami terus meraih kejayaan pada perlawanan akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada aksi tersebut, pasukan negara memulakan cabaran dengan langkah kanan apabila menewaskan Singapura menerusi 214 mata berbanding 209. Aksi konsisten tersebut diteruskan pada set kedua yang mana mereka terus mengesahkan kemenangan menerusi kutipan 188 mata berbalas 177.
Sebagai rekod, kejuaraan tersebut adalah yang ketiga buat Malaysia apabila kali pertama meraihnya pada 2003 di Kuala Lumpur dan kali terakhir di Monterrey, Mexico pada 2007. Terdahulu pada kejohanan sama bagi acara beregu wanita serta All-Event, kem negara berjaya meraih dua pingat perak menerusi Shalin, Li Jane dan Siti Safiyah Amirah.
Sementara itu, Syaidatul Afifah 26, berkata, tugasnya masih belum selesai apabila dijadualkan beraksi pada kejohanan Boling Masters di Malaysia dalam masa terdekat.
0 comments:
Post a Comment