Keasyikan sekumpulan mat rempit mempamerkan aksi dan lagak ngeri masing-masing di jalan raya berakhir apabila dicekup polis dalam Ops Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam hingga 6 pagi itu, mat rempit berkenaan dikesan menunggang secara berbahaya tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain. Tanpa mereka sedar semua aksi mereka diperhatikan anggota polis berpakaian preman yang melakukan penyamaran dan membuat risikan ketika operasi berkenaan.
Difahamkan, mereka saling mencabar antara satu sama lain dengan sengaja menunjukkan aski panas dan mahu menguji enjin motosikal masing-masing yang ada antaranya sudah diubah suai. Selain itu, jika ada yang menyahut cabaran, mereka akan mula bertaruh dan berlumba dengan ditonton penunggang motosikal lain yang berhenti di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam oeprasi itu, sebanyak 79 motosikal disita dan 379 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan.
Menurutnya, operasi dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang serta Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).
“Dalam operasi sama, seorang lelaki ditahan kerana positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan itu di kawasan berkenaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment