My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 6 December 2017

    Samsung Bangkit Semula



    SAMSUNG pastinya tidak akan memadamkan sejarah hitam Ogos 2016 yang hampir meranapkan reputasi pengeluar telefon pintar terbesar dunia itu. Malah ada yang berpendapat syarikat itu tidak mungkin akan bangkit lagi selepas itu. 

    Pada 1 September 2016, syarikat itu mengumumkan sebanyak 35 kes ‘letupan’ membabitkan produk perdana mereka iaitu Galaxy Note 7, laporan turut menyebut bilangan itu bertambah setiap hari sebaik sahaja pengumuman itu dibuat.

    Syarikat gergasi Korea Selatan itu segera memanggil semula semua produk Note 7 di seluruh dunia kecuali beberapa negara seperti India yang belum sempat dilancarkan lagi jualannya. Jualan telefon pintar itu dibekukan. Namun begitu walaupun produk itu sudah dipanggil semula, syarikat itu terus menerima aduan demi aduan.

    Pengguna dinasihatkan menyerahkan Note 7 mereka ke pusat-pusat perkhidmatan pelanggan di serata dunia dan akan memperoleh semula peranti mereka itu sebaik sahaja stok baharu tiba.

    Sementara itu, banyak syarikat penerbangan melarang Galaxy Note 7 berada dalam pesawat mereka malah ada beberapa negara yang mahu Samsung menghentikan sementara penjualannya sehingga krisis itu dapat diatasi.

    Sebaik sahaja memanggil produk berkenaan, langkah drastik yang dilakukan ialah meningkatkan kapasiti bateri gajet itu sebanyak 60 peratus sambil Samsung mendakwa langkah itu dapat mengurangkan kebarangkalian berlakunya letupan atau kerosakan kepada bateri.

    Pelan ‘B’ 

    Apa yang Samsung lakukan bagi mengembalikan kepercayaan penggunanya di seluruh dunia? Di sinilah Pio Schunker iaitu Naib Presiden Kanan yang juga Ketua Pemasaran Jenama Global Samsung Mobile memainkan peranan utamanya.

    Schunker berkata, antara langkah-langkah penting yang dilakukan pihaknya ialah menguji 200,000 unit Note 7 oleh 700 penyelidik dan jurutera yang bekerja siang malam bagi mengenal pasti punca masalah produk berkenaan.

    “Tanggungjawab kami ialah memastikan keteguhan kejuruteraan Samsung yang menjadi DNA kami terus terjamin, kerana itu penyelidik kami menguji, mengkaji dan membedah siasat 30,000 bateri Note 7 dalam usaha menyelesaikan masalah itu,” katanya kepada media di Bandar Digital Samsung di Suwon, Korea Selatan baru-baru ini.

    Katanya, visinya iaitu ‘memanusiakan’ produk-produk syarikat gergasi Korea Selatan itu supaya terhasil produk perdana yang benar-benar diperlukan pengguna. Visi itu berjaya melalui Galaxy S7 dan S7 edge yang membawa kepada pengenalan produk perdana Note 7 sehinggalah tragedi terbabit berlaku.

    “Waktu kejadian itu, kami sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku. Kami berusaha dengan telus dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pemulihan semula selepas Note 7. Pertamanya kami mengadakan sidang media yang tidak pernah dilakukan sebelum ini bagi mengumumkan hasil siasatan oleh Presiden Samsung Mobile Koh Dong-Jin.

    “Dia menerangkan dengan terperinci sehingga ke akar umbi permasalahan selain mengaku punca tragedi itu termasuk kesilapan salah satu pembekal menyediakan bateri yang berkepadatan tinggi dengan memiliki kecacatan reka bentuk menyebabkan berlakunya pembakaran dalam peranti,” katanya.

    Pengakuan ini amat penting buat Samsung lebih-lebih lagi untuk menerima dan mendedahkan kesilapan sendiri yang sebenarnya itu adalah langkah penting sebelum melonjak bagi mengembalikan kepercayaan pengguna yang sebelum itu sudah musnah

    “Langkah ketiga kami lakukan ialah audit oleh pihak ketiga sebagai usaha bahawa Samsung amat telus dan akhirnya kami berjaya, terima kasih pengguna setia kami di seluruh dunia,” katanya.

    Kunci kebangkitan

    Kunci utama kepada kejayaan pemulihan semula ialah ketelusan Samsung berdepan dengan kecaman industri apatah lagi ketidakpuasan hati peminat-peminat setia jenama itu di seluruh dunia.

    Kerana itu semasa pelancaran generasi seterusnya Galaxy Note iaitu Note 8, Samsung tidak lagi mahu ‘syok sendiri’ sebaliknya amat menghargai sokongan penggunanya di seluruh dunia.

    'Thank You Note’ adalah suatu dedikasi selama dua minit kepada peminat-peminat siri Note yang terus meletakkan kepercayaan kepada syarikat itu kembali menguasai pasaran telefon pintar seperti yang pasukan Schunker lakukan semasa melonjakkan Note 7 pra tragedi.

    Klip video itu menunjukkan tidak ada apa yang mahu disembunyikan oleh Samsung dari sekecil kesilapan kepada yang terbesar, kecuali sedaya-upaya melakukan apa sahaja untuk membetulkan keadaan. Sikap seperti itu yang membuatkan peminat Samsung tidak berpaling lagi kepada syarikat pesaing lain apatah lagi dengan pengenalan Note 8 bersama moto baru syarikat ‘Do what you can’t.’
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Samsung Bangkit Semula Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top