Seperti dijangka skuad kelayakan Piala Thomas tidak berdepan masalah mencatat kemenangan pertama di Kejohanan Berpasukan Asia di Hyderabad, India apabila menumpaskan Sri Lanka 4-1 semalam.
Zulfadli Zulkiffli menjadi penyumbang mata pertama negara apabila mudah mengalahkan Nimmika Thisara 21-4, 21-6 dalam perlawanan berlangsung di Stadium Tertutup GMC Balayogi.
Ketua pasukan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menghadiahkan mata kedua apabila menang straight set, 21-16, 21-18 ke atas Sachin Dias namun perseorangan ketiga, Soo Teck Zhi tumpas kepada Buwenaka Goonathileka 14-21, 17-21.
Pasangan beregu lelaki negara, Low Juan Shen-Tan Kian Meng mengesahkan kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Imesh Hasaranga-Madusha Vibhavi 21-6, 21-12, diikuti aksi Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mengalahkan Dias-Goonathileka 21-12, 21-13.
Menurut Iskandar, semua pemain memberikan aksi terbaik walaupun cuba dicabar hebat pemain Sri Lanka.
“Pemain perseorangan mereka bermain agak baik hari ini (semalam) dengan memberi tekanan namun kita mampu mengharunginya,” kata naib juara Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia ketika dihubungi semalam.
Jelasnya, semua pemain termasuk beregu lelaki sudah memberikan persembahan paling baik tanpa menyimpan tenaga walaupun bertemu negara yang bukannya kuasa badminton.
“Ini bukan pemanas badan, kerana di sini semuanya ada tekanan tersendiri terutama untuk mencatat kemenangan. Lagipun kami masih mentah dan saya harap semua dapat memberikan persembahan terbaik,” kata pemain kelahiran Johor itu.
Katanya, menjelang pertemuan Nepal hari ini, mereka berharap mampu mencatat kemenangan kedua sebelum bersedia pertemuan terakhir dalam Kumpulan A menentang Jepun.
Dalam pada itu, Jepun tidak memberi belas kasihan kepada Nepal apabila mencatat kemenangan 5-0, seterusnya menduduki tangga teratas Kumpulan A.
0 comments:
Post a Comment