Proton Holdings Bhd (PROTON) bakal memperkenalkan model terbaru Perdana di pasaran pada suku pertama tahun ini pada harga antara RM100,000 dan RM150,000 seunit.
Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tempahan bagi model itu sudah dibuka untuk orang ramai, namun ia kini masih menjalani fasa ujian bagi memastikan model itu menjadi kereta lebih baik kepada orang ramai.
Menurutnya, PROTON memerlukan masa yang panjang untuk memasarkan model terbaru itu bagi membolehkan ia diuji sepenuhnya, sekali gus mengelakkan sebarang kerosakan seperti model sebelum ini iaitu Preve.
“Model ini bakal menawarkan harga lebih rendah dan kompetitif berbanding kereta import meskipun ia memiliki rekaan dan prestasi sama seperti jenama luar negara,” katanya pada sidang media selepas taklimat media PROTON di sini, semalam.
Pada majlis itu, PROTON turut memperkenalkan logo baru dan Pasukan Bantuan Kerosakan Bergerak yang menyediakan perkhidmatan bantuan 24 jam serta tujuh hari seminggu di seluruh negara membabitkan 24 pasukan sebagai permulaan dan penambahan kepada 64 pasukan akhir Mei depan.
PROTON memperuntukkan modal RM200 juta bagi pembangunan model Perdana baru itu di mana ia menggunakan platform sedan mewah Honda Accord seperti mana 3,000 model Proton Perdana edisi terdahulu yang digunakan oleh pegawai tinggi kerajaan kini.
Dalam perkembangan sama, PROTON mengumumkan program memanggil balik 94,577 unit kenderaannya yang terdiri daripada tiga model iaitu Exora, Preve dan Suprima bermula semalam bagi tujuan penukaran hos penyejuk minyak CFE.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, langkah terbabit dilaksanakan bagi menangani kemungkinan kerosakan yang berlaku terhadap komponen itu selepas mengharungi perjalanan 40,000 kilometer (perbatuan).
Menurutnya, kos untuk hos penyejuk minyak itu hanya dalam anggaran RM7 hingga RM8, namun kos buruh dijangka lebih tinggi kerana ia membabitkan jumlah kenderaan yang banyak.
“Kami akan memanggil pemilik model kenderaan terbabit secara satu persatu terutama bagi kenderaan yang mencecah jarak perbatuan itu dengan proses ini dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.
Daripada sejumlah 94,557 kenderaan yang dipanggil semula, sebanyak 59,663 unit kenderaan adalah terdiri daripada model Exora, 28,642 unit (Preve) dan 6,290 (Suprima).
0 comments:
Post a Comment