Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (Aibim) mengunjurkan pertumbuhan industri perbankan Islam di negara ini mengalami pertumbuhan sederhana dalam lima hingga lapan peratus tahun ini berikutan situasi pasaran semasa yang mencabar.
Setiap tahun industri perbankan mencatatkan pertumbuhan positif melebihi 10 peratus dengan sektor pembiayaan kukuh sebagai penyumbang utama dalam perkembangannya.
Presidennya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, rentetan kesan kejatuhan harga minyak yang mendadak dan semakan semula pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 4.5 hingga lima peratus tahun ini, ia menjadi faktor pertumbuhan industri perbankan Islam sederhana.
Beliau berkata, kesan langsung kejatuhan harga minyak dan tukaran asing yang rendah ketika ini dapat dilihat pada separuh kedua 2016.
“Saya menjangkakan sektor pembiayaan dalam kalangan pelanggan dan korporat berkembang sekitar lima hingga 10 peratus berikutan sikap peminjam yang berhati-hati.
“Namun, pihak bank akan terus memberi pinjaman kepada pelanggan dan perkara utama perlu diingatkan kepada orang ramai ialah mereka perlu berdisiplin dari segi pembiayaan balik dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya.
Sebelum ini, Aibim mengunjurkan aset perbankan Islam mampu berkembang sehingga 30 peratus dalam lima tahun daripada 26 peratus setakat berakhirnya Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). Mohd Redza berkata, prestasi industri perbankan Islam dijangka kembali positif tahun depan sekiranya ekonomi semasa mampu berkembang baik.
0 comments:
Post a Comment