Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang memegang jawatan itu sejak tahun 2000 dan bakal berakhir pada April ini yakin jawatannya tidak akan disambung walaupun diminta untuk meneruskan perkhidmatan.
Beliau berkata, untuk terus kekal sebagai Gabenor di BNM adalah mustahil dan pertukaran legasi baharu adalah perkara biasa dalam setiap sistem pekerjaan di seluruh dunia.
Menurutnya, selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Gabenor BNM, beliau merancang untuk meneruskan aktiviti berbentuk ilmiah seperti memberi sumbangan dalam bentuk penulisan akademik khusus kepada badan pendidikan kewangan yang disokong oleh bank pusat itu antaranya, Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) serta Pusat Kepimpinan dan Urus Tadbir (Iclif).
“Saya juga tidak akan memegang sebarang jawatan yang mempunyai hubungan terus dengan BNM selepas bersara sepenuhnya pada April ini walaupun diberikan apa-apa jemputan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Platform Akaun Pelaburan (IAP) di sini, semalam.
Zeti adalah antara tokoh penting di peringkat pembuat dasar ketika negara berhadapan dengan Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998 selain turut pernah mendapat beberapa pengiktirafan global sebagai Gabenor gred A.

Pada masa sama, ketika ditanya mengenai penyertaan ahli politik bagi memegang jawatan Gabenor akan datang, beliau berkata sehingga kini tidak ada ahli politik yang menganggotai lembaga pengarah mana-mana institusi kewangan khususnya BNM sebagai bank pusat.
“Setiap organisasi yang wujud di seluruh dunia memerlukan komitmen yang tidak dikaitkan dengan sebarang agenda politik terutamanya bank pusat kerana ia harus kekal fokus dalam memastikan kestabilan makroekonomi, kewangan dan ekonomi.
“Maka, segala dasar ekonomi dan kewangan dapat ditumpukan dengan lebih terperinci bagi mencapai apa sahaja keputusan yang menjadi kepentingan terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, bank pusat adalah organisasi yang kukuh, malah ia turut mempunyai kekuatan institusi, daya tahan serta berasaskan kepada undang-undang dan peraturan yang sah. Media sebelum ini melaporkan pelantikan Gabenor BNM yang baharu dijangka boleh menjejaskan sistem kewangan negara termasuk pergerakan ringgit kerana meramalkan ketiadaan Zeti akan mengancam dasar kewangan sedia ada.
0 comments:
Post a Comment