My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 18 February 2016

    Peluang Sarawak Perluas Pasaran Kelengkapan Elektrik

    BAHARU: Awang Tengah (dua kiri) melancarkan Label Keselamatan ‘SIRIM-EIU’. Turut kelihatan Entri (kiri), (dari kanan) Mohd Elmi, Ubaidillah dan Rundi.

    Pengiktirafan bersama label keselamatan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC) dan Unit Merinyu Elektrik (EIU) Kementerian Kemudahan Awam akan memberi peluang kepada pengimport serta pengeluar kelengkapan elektrik di Sarawak meluaskan pasaran ke Sabah dan Semenanjung Malaysia. 

    Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pengiktafan bersama itu dicapai selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara EC dan Kerajaan Negeri Sarawak mengenai Pengiktirafan Bersama Label Keselamatan Ke Atas Kelengkapan Elektrik Terkawal Di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada November tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

    MoU itu katanya, menyaksikan EC dan EIU mempunyai kuasa penguatkuasaan berkesan untuk mengawal selia pengimportan, pengeluaran dan penjualan kelengkapan elektrik terkawal. Tambahnya, kedua-dua pengawal selia berkenaan (EC dan EIU) terlibat dengan badan pemeriksaan iaitu SIRIM QAS International Sdn Bhd, badan pensijilan terbesar serta tertua negara.

    “Bagi komuniti perniagaan, pengiktirafan bersama label-label keselamatan ini akan menyediakan kepada pengimport dan pengeluar di Sarawak memperluaskan pasaran mereka ke Sabah dan Semenanjung Malaysia kerana mereka memenuhi standard keselamatan ditetapkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Label Keselamatan SIRIM-EIU dan Seminar Penguatkuasaan Peralatan Elektrik Terkawal di Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

    Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua berkata, setakat ini terdapat 112 pengimport kelengkapan elektrik berdaftar dengan EIU. Pengimport tegasnya, disyaratkan mematuhi Permit Import bagi setiap penghantaran atau barangan yang memasuki negeri ini yang dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    “Ingin saya tekankan di sini, walaupun MoU antara EC dan kerajaan negeri sudah ditandatangani, pengimport dari Sarawak masih perlu mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan EC jika mereka mahu memasarkan produk mereka ke Sabah atau Semenanjung Malaysia,” tegasnya.

    Rentetan MoU itu katanya, baru-baru ini EC memperkenalkan aspek pencapaian kelengkapan elektrik seperti Standard Pencapaian Tenaga Minimum (MEPS) ke atas lima produk untuk mengawal selia Kecekapan Tenaga di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

    Lima produk kelengkapan elektrik dimaksudkan ialah pendingin hawa, lampu, kipas, set televisyen dan peti sejuk. Sementara itu, Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn Bhd Khalidah Mustafa berkata untuk mendapatkan Label Keselamatan ‘SIRIM-EIU’, pengimport terlebih dahulu perlu mendapatkan Laporan Penilaian Teknikal daripada SIRIM.

    Laporan itu katanya, dikeluarkan setelah semakan dan penilaian dilaksanakan ke atas laporan ujian penuh peralatan elektrik yang dikeluarkan makmal luar negara yang diiktiraf.

    “Dengan adanya Laporan Penilaian Teknikal, maka baharulah pihak pengimport memohon mendapatkan Sijil Pemerakuan daripada EIU seterusnya memohon permit import.

    “Setelah peralatan ini diimport, SIRIM akan membuat pemeriksaan dan pengujian berdasarkan piawaian antarabangsa. “Hanya peralatan yang lulus ujian sahaja akan memperoleh Label Keselamatan ‘SIRIM-EIU’,” jelas Khalidah.

    Hadir sama, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Pengarah Jabatan Kawal Selia Keselamatan Elektrik, Suruhanjaya Tenaga Malaysia Mohd Elmi Anas, Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam Ubaidillah Abdul Latip dan Pengarah Bekalan Elektrik Kementerian Kemudahan Awam Syed Mohamad Fauzi Shahab.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Peluang Sarawak Perluas Pasaran Kelengkapan Elektrik Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top