Ops Agresif akan terus diperhebatkan untuk memerangi jenayah daripada terus berleluasa menerusi penglibatan gabungan polis dan kesemua pasukan sokongannya. Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata, operasi itu memberikan fokus kepada usaha menangani indeks jenayah di daerah ini yang mengalami peningkatan.
“Kes-kes jenayah harta benda ternyata menjadi penyumbang utama kepada peningkatan indeks jenayah tahun ini melibatkan kes curi kenderaan dan pecah rumah.
“Kegiatan jenayah dadah turut mempengaruhi peningkatan jenayah harta benda ini, justeru kita meletakkan indeks jenayah dan dadah sebagai keberhasilan,” katanya.
Beliau berkata demikian di IPD Tawau di sini kelmarin, sempena perhimpunan bulanan IPD Tawau yang diadakan buat pertama kalinya semenjak beliau berpindah ke Tawau. Fadil berkata, sebanyak 141 kes dicatatkan dari 1 Januari hingga 14 Februari tahun ini berbanding 88 kes pada tahun lepas yang menunjukkan peningkatan 60 peratus.
“Bagaimanapun, kadar pendakwaan ataupun penyelesaian kes meningkat 30 peratus,” katanya sambil menegaskan pasukannya akan meneruskan agenda keutamaan Ketua Polis Negara.
Hal itu menurutnya, termasuk mengekalkan ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat serta mengawal dan mengekang jenayah melalui pencegahan dan penyiasatan berkesan. Polis Tawau juga akan terus memantapkan integriti dan pematuhan standard serta berharap warganya sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Kita juga akan meneruskan pendekatan ‘back to basic’, pematuhan arahan dan pelaksanaan tugas dengan tepat, program kepolisan dan lanjutan ‘community policing’.
“Kita berharap kerja berpasukan akan menjadi teras keberhasilan ke arah merealisasikan misi kita di daerah ini iaitu ‘misi polis bersama masyarakat ke arah Tawau Sejahtera’,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Fadil turut berkesempatan menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Bahagian Pengurusan IPD Tawau oleh ASP Thangarajoo Velayudan kepada ASP Mohd Raha Ab Rauf. Thangarajoo yang berkhidmat lebih 12 tahun di IPD Tawau akan menjawat Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Port Dickson, Negeri Sembilan.
0 comments:
Post a Comment