Penduduk di tiga kawasan sekitar daerah ini terjejas hubungan seketika semalam disebabkan jalan raya yang menjadi laluan utama mereka dilanda banjir kilat. Jalan-jalan yang terjejas ialah Jalan Kampung Judin, Jalan Sebako dan Jalan Sekambal.
Menurut Pegawai Daerah Lundu Hamsein Atar, paras banjir kilat yang berlaku di ketiga-tiga jalan tersebut adalah lebih satu kaki.
“Hujan lebat sejak jam 4 pagi tadi (semalam) telah menyebabkan tiga jalan raya di sini dinaiki air. “Paras air yang agak tinggi juga menyebabkan penduduk di ketiga-tiga kawasan terkandas untuk pergi bekerja atau menjalankan urusan lain,” katanya ketika ditemu bual, semalam.
Bagaimanapun, Hamsein berkata jalan-jalan tersebut kemudian dapat dilalui pada sekitar tengah hari semalam selepas hujan lebat reda dan banjir mula surut. Menjelas lanjut, beliau memberitahu Jalan Sebako adalah yang paling teruk terjejas apabila ditenggelami air sepanjang 600 meter.
“Saya menjangkakan banjir teruk di jalan ini adalah disebabkan oleh kerja-kerja menaik taraf yang sedang dilakukan di sini,” katanya sambil menambah Jalan Sebako kini sedang dinaik taraf kerana permukaannya yang rosak teruk.
Manakala, banjir di Jalan Sekambal yang menenggelamkan kira-kira 100 meter bahagian jalan turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Saga terbabas ke bahu jalan. Namun, pemandu kereta tersebut yang merupakan seorang lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan apabila telah diselamatkan oleh orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.
“Saya difahamkan pemandu kereta itu tidak menyedari bahawa jalan tersebut banjir menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan,” kata Hamsein.
0 comments:
Post a Comment