My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 17 February 2016

    Pelajar Lepasan SPM Disaran Kunjungi BPIEF 2016



    Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran tidak ketinggalan mengunjungi Pameran Pendidikan Antarabangsa Borneo Post (BPIEF) 2016 pada 27 dan 28 Februari ini. Penganjuran kali ketujuh di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu bukan sahaja menyaksikan penyertaan institusi pengajian tinggi tetapi bantuan kewangan serta senarai kerjaya yang berpotensi di pasaran. 

    Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia menjadi platform kepada pelajar lepasan sekolah mendapatkan pelbagai maklumat mengenai peluang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta.

    “Kita amat menggalakkan pelajar lepasan sekolah khasnya yang tidak begitu baik dalam sijil mereka memandangkan pameran ini (BPIEF) menawarkan kursus yang peluang pekerjaannya dalam vokasional atau teknikal.

    “Kami berharap pelajar dapat memilih kursus yang berdasarkan pasaran kerja yang ada dan tidak hanya bergantung kepada minta sahaja,” katanya yang juga penaung BPIEF pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada jawatankuasa pengelola yang turut diketuai Pengurus Besar Operasi Borneo Post dan Utusan Borneo merangkap Penasihat BPIEF Phyllis Wong di pejabatnya di sini, semalam.

    Menurut Fatimah, kini pelajar tidak harus bergantung kepada kursus yang bertumpukan kepada pengurusan seperti sumber manusia memandangkan potensi untuk mendapat pekerjaan amat kurang kerana terlalu ramai memilih kursus sedemikian.

    Maka katanya, pelajar digalakkan memilih kemahiran sama ada daripada sijil, diploma atau sarjana muda kerana ia menawarkan peluang pekerjaan tinggi di negeri ini.

    Mengulas lanjut mengenai BPIEF, Fatimah berkata dengan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kesihatan Negeri pada kali ini, akan menambahkan lagi maklumat kepada pengunjung mengenai kerjaya yang ditawarkan agensi.

    “Dengan ini pelajar atau pengunjung boleh melihat kerjaya ditawarkan di bawah agensi berkenaan selain kelayakan diperlukan.

    “Namun apa yang penting juga BPIEF turut menjemput badan atau institusi kewangan yang boleh menjadi rujukan mengenai bantuan kewangan kepada pelajar,” katanya.

    Sementara itu pengerusi jawatankuasa pengelola Dorge Rajah berkata, sehingga kini sebanyak 93 pempamer turut serta dalam BPIEF kali ini dengan lebih 128 ruang pameran disediakan pada program yang juga tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.

    “Kami juga menyediakan kemudahan bas kepada sekolah-sekolah yang berminat termasuk di kawasan Padawan, Kuching, Samarahan, Serian dan Bau dan program ini mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri.

    “Pada pameran kali ini, kami menyasarkan 10,000 pengunjung dalam acara dua hari dengan pelbagai aktiviti sampingan menarik khas untuk pelawat kami,” katanya sambil memberitahu masuk adalah percuma.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pelajar Lepasan SPM Disaran Kunjungi BPIEF 2016 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top