My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 1 July 2016

    Sindiket Labur Besar


    Sindiket yang terbabit dalam memindahkan Gas Petroleum Cecair (LPG) domestik bersubsidi kepada tong untuk kegunaan industri di sebuah kilang di Jalan Tiram Burok, dekat sini dipercayai sanggup membelanjakan sejumlah wang besar untuk menyediakan prasarana berteknologi tinggi. 

    Ia berikutan proses pemindahan gas bersubsidi itu dapat dilakukan dalam skala besar dan cepat dengan menggunakan sumber bekalan elektrik.

    Ketua Seksyen Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Basaruddin Mohyiddin berkata, sindiket itu juga didapati menggunakan kaedah moden apabila dikesan menggunakan pam dan hos penyambungan terus masuk kepada tangki berteknologi tinggi sebelum dipindahkan kepada tong gas berkapasiti 50 kilogram (kg) untuk kegunaan industri.

    Beliau berkata, gas yang diselewengkan itu berkemungkinan untuk dijual ke industri yang memerlukan bekalan pukal yang lebih besar. “Kita percaya sindiket ini membelanjakan wang yang besar menyediakan kemudahan teknologi tinggi yang mampu memindahkan gas bersubsidi dengan skala besar dan cepat.

    “Dalam risikan yang dijalankan untuk mengesahkan aktiviti ini, kami turut menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah premis berlesen iaitu pemborong di Sekinchan yang disyaki terbabit dengan membekalkan tong gas bersubsidi bagi kegunaan sindiket.

    “Pemborong ini kemudian membeli semula tong gas 50 kilogram yang siap diisi untuk dipasarkan di kawasan sekitar,” katanya ditemui selepas serbuan itu di sini semalam.

    Serbuan itu turut disertai polis Bukit Aman dan dikoordinasikan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) di Jabatan Peguam Negara. Basaruddin berkata, pihaknya melakukan risikan selama lima hari sebelum melakukan serbuan berkenaan.

    Hasil serbuan itu KPDNKK merampas sejumlah besar tong gas berkapasiti 50 kg selepas syarikat berkenaan gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen pembelian dan ia disyaki hasil aktiviti pemindahan secara haram itu selain menahan beberapa pekerja termasuk pemandu lori untuk siasatan lanjut.

    “Jumlah rampasan di kedua-dua tempat dianggarkan RM926,085 membabitkan 288 tong 50 kg, 174 tong 14 kg, 62 tong 50 kg yang kosong, gas dalam tangki teknologi tinggi berkapasiti lapan tan, dua unit tangki teknologi tinggi berkapasiti lapan tan, satu unit tangki berteknologi tinggi berkapasiti 30 tan serta beberapa barangan memproses.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan bersama Peraturan 3(1) PKB 1974 dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi stor haram.

    “Stor berlesen pula akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan bersama Seksyen 9(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan (2) PKB 1974 dan Peraturan 13(1) PKB 1974,” katanya.

    Basaruddin berkata, sabit kesalahan syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi pemilik/pengarah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

    “Jumlah subsidi yang disyaki disalahgunakan adalah melebihi RM250,000 dan 45 akaun di beberapa bank milik sindiket terbabit berjumlah RM7 juta dibekukan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sindiket Labur Besar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top