Susulan daripada kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspress dari syarikat Qistina Ekspres pada 10 Julai lalu, hari ini dalam satu kenyataan media, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) telah mengambil keputusan untuk menggantung lesen dan 26 permit bas yang dipegang oleh Qistina Ekspres Sdn Bhd berkuatkuasa serta merta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, tindakan penggantungan lesen dan permit 26 buah bas yang dimiliki oleh Qistina Ekspres Sdn Bhd ini dibuat sementara menunggu hasil siasatan yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang sedang dijalankan.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak SPAD memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh semua pengusaha bas-bas ekspres di seluruh negara. Pihak SPAD percaya bahawa tindakan keatas pihak Qistina Ekspres Sdn Bhd ini akan menjadi peringatan tegas kepada kesemua pengendali dan penyedia perkhidmatan bas ekspres supaya memastikan keselamatan pengguna diutamakan.

Ini bagi memastikan, segala syarat-syarat pematuhan mandatori jalan raya dapat dipatuhi supaya kejadian yang sama tidak akan berulang lagi pada masa hadapan. Ini juga bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa dijaga dan diberi keutamaan.
0 comments:
Post a Comment