Pertikaian antara Penyedia Perkhidmatan Teksi dengan penyedia perkhidmatan Uber dan GrabCar di Malaysia tidak pernah reda sehingga hari ini. Masing-masing mempertahankan hak mereka dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengguna sehingga ada ketikanya, pernah menimbulkan ketegangan yang tidak sepatutnya di ibu negara.
Mengambil iktibar akan hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bercadang akan memansuhkan pelaksanaan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu teksi dan akan digantikan dengan sistem baharu bagi menyeragamkan perkhidmatan perkhidmatan teksi, Uber dan GrabCar.
Melalui sistem baharu ini, ianya dapat menyeragamkan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar dan sekaligus dapat bersaing secara sihat dan memberi perkhidmatan paling efisien kepada penumpang. Mengulas tentang perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah memberitahu, cadangan itu akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh terdekat ini.
Menurut beliau, pemansuhan PSV merupakan salah satu daripada 11 inisiatif yang terdapat dalam program E-hailing bagi mempertingkatkan sistem dan perkhidmatan semua jenis teksi termasuk Uber dan GrabCar.
Sambil memberitahu, perkara ini masih belum diputuskan oleh Kabinet, namun ianya merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menambah baik dan mentransformasikan perkhidmatan pengangkutan awam demi kepuasan semua pihak.
Dalam perkembangan yang sama, SPAD dijangka akan membentangkan kertas kerja untuk membenarkan perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar beroperasi seperti pengusaha teksi biasa, yang akan dimuktamadkan akhir tahun ini.
Berdasarkan amalan sebelum ini, mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan mempunyai lesen memandu perlu memohon lesen PSV daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memandu teksi atau bas. Menerusi pelaksanaan sistem baharu itu nanti, sesiapa sahaja yang mahu memandu teksi, Uber atau GrabCar hanya perlu memiliki lesen memandu dan berdaftar dengan SPAD tanpa perlu menduduki ujian bagi mendapatkan PSV.
Walaupun perkara itu masih di peringkat cadangan, namun menurut Mohd Azharuddin, perkhidmatan teksi masih perlu dipertingkatkan supaya mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Ini memandangkan, para pemandu teksi di negara ini diiktiraf oleh kerajaan sebagai duta kecil negara dimana mereka adalah "frontliner" negara dalam menunjukkan imej positif negara kepada para pelancong luar.
Andai kualiti ini tidak dipertingkatkan sejajar dengan perubahan arus semasa, pastinya ia bakal memberi imej yang buruk kepada para pelancong luar dan sekaligus menyebabkan para pengguna semakin menjauhi perkhidmatan teksi dimasa akan datang.
Semoga inisiatif yang bakal dikemukakan oleh pihak SPAD ini bakal membuka lembaran baru bagi penyedia perkhidmatan teksi, Uber dan GrabCar bagi mewujudkan persaingan yang sihat dan sekaligus mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam negara.
0 comments:
Post a Comment