Bangunan Sekolah Kerajaan (SK) Kampung Buda yang runtuh sebahagian di Spaoh akan dibina menggunakan sistem IBS pada kadar segera, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah.
Jelasnya, pihaknya telah membuat keputusan drastik menyelesaikan isu itu sebaik musibah berkenaan berlaku. “Antaranya mengekal kanak-kanak prasekolah di bangunan masih selamat bagi meneruskan persekolahan masing-masing. Ini kerana kita tidak mahu kanak-kanak berusia lima dan enam tahun terpisah daripada ibu bapa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini semalam. Jelas Fatimah lagi, sesetengah guru prasekolah tinggal bersama saudara masing-masing manakala murid sekolah rendah pula akan ditempatkan di sekolah berlainan.
“Mereka akan ditempatkan di sekolah berlainan yang mempunyai kemudahan tempat tinggal. Tetapi masih ada ibu bapa yang tidak bersetuju dengan keputusan itu, bagaimanapun kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kerana tidak mahu pelajar terputus pembelajaran,” katanya.
Keputusan itu dibuat kata Fatimah sementara menunggu dana di bawah peruntukan darurat kerajaan persekutuan bagi membina bangunan sekolah mengguna sistem IBS. Jelasnya, ia merupakan cara tercepat yang menelan kos lebih rendah walaupun memerlukan peruntukan lebih kerana mengguna pengangkutan untuk membawa bahan binaan ke tapak pembinaan.
Kejadian berlaku pada awal Jun lalu ketika cuti sekolah pertengahan penggal serentak persidangan DUN sedang berlangsung itu turut memusnahkan sebuah surau. Sejurus mendapat berita tersebut, Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Douglas Uggah Embas dan ADUN Saribas, Razi Sitam turut meninjau ke kawasan sekolah pada keesokan harinya.
Sementara itu, ramai tetamu kalangan dif kehormat hadir ke majlis rumah terbuka beliau di sini semalam antaranya, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
0 comments:
Post a Comment