Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup berkata, royalti adalah pembayaran ke atas kegunaan sesuatu dan boleh dikatakan seperti pembayaran sewa. Katanya, dalam konteks isu minyak di Sabah pembayaran royaliti adalah seperti pembayaran sewa kepada kerajaan Sabah untuk kawasan di mana Petronas mengeksplorasi minyak.
“Contohnya lima peratus royalti bererti Sabah hanya dibayar lima peratus daripada hasil pendapatan minyak yang diperolehi di kawasan itu,” katanya dalam kenyataannya di sini kelmarin.
Arthur berkata, ekuiti adalah pemilikan ke atas sesuatu dan sebagai contoh dalam konteks isu minyak apabila Sabah mempunyai 30% ekuiti bererti bahawa Sabah akan memiliki 30% dalam segala proses dan juga keuntungan daripada hasil eksplorasi minyak itu.
“Jadi mana satu yang lebih baik? Dalam pandangan saya ekuiti adalah lebih baik daripada pembayaran royalti kerana apabila Sabah memiliki 30% ekuiti daripada pengusahaan minyak, ini bererti pertama, Sabah akan menerima pembayaran pendapatan sebanyak 30% daripada keuntungan hasil minyak itu. Ini adalah lebih tinggi daripada 20% royalti yang diminta sebelum ini.
“Kedua, Sabah akan mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju dan juga pelaksanaan projek tersebut kerana memiliki sebanyak 30% saham. Ketiga, sebagai pemilik, Sabah mempunyai kuasa untuk memilih dan melantik kontraktor dan pekerja untuk projek itu.
“Keempat, faedah ketiga akan memberi peluang kepada orang Sabah dalam pelaksanaan dan juga akan melatih orang Sabah dalam bidang ini dengan harapan bahawa suatu hari nanti kita sendiri boleh melaksanakan kerja ini tanpa bergantung kepada kontraktor asing kerana setakat ini kita belum lagi mempunyai kemahiran dalam bidang ini,” katanya.
Arthur berkata, ini merupakan tindakan yang baik daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah kerana bertindak untuk pembangunan ekonomi Sabah jangka masa panjang dan tidak hanya mengharapkan pembayaran sewa melalui royalti.
Katanya, sekiranya Sabah hanya menuntut royalti maka ia sama seperti Ali Baba yang hanya bijak mencari sub-kontrak. Tetapi melalui ekuiti Sabah akan menjadi pemilik dan juga pengusaha di dalam pengurusan harta minyak negeri ini sendiri. “Ini kita mesti jelaskan kepada orang ramai. Ini adalah langkah yang terbaik yang jauh lebih baik daripada pembayaran royalti yang dituntut sebelum ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment