My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 6 August 2016

    Berkebun Sambil Beriadah


    Minat mendalam di bidang pertanian dan kerjasama sesama penduduk antara resipi kejayaaan Projek Pertanian Bandar Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kampung Padang Jaya Zon A, Kuantan. Selepas beberapa bulan projek itu diusahakan, peserta mampu berbangga apabila mula meraih pendapatan hasil jualan 10 jenis sayuran yang ditanam tanpa menggunakan racun dan baja kimia. 

    Seorang peserta Hazani Zamani Hussain, 42, berkata, mereka menjalankan projek itu di kawasan seluas 0.1 hektar di tanah rizab tepi Jalan Kuantan-Bukit Goh. Katanya, projek itu mendapat sokongan Pejabat Pertanian Daerah Kuantan yang memberikan khidmat nasihat selain menyediakan pelbagai bantuan.

    Menurutnya, selain menanam pelbagai sayuran jenis daun dan buah, peserta turut menanam pokok bunga dan membina tempat berehat di tapak projek itu bagi menceriakan lagi kawasan berkenaan. 

    “Setiap hari saya dan rakan meluangkan masa dua jam pada sebelah pagi dan dua jam petang untuk menjalankan aktiviti menanam, menyiram, membaja dan mengutip hasil. Kelebihan tanaman sayur yang kami usahakan adalah tidak menggunakan baja kimia dan racun serangga. Untuk menghalang makhluk perosak seperti siput, belalang, ulat dan semut, kami menggunakan racun organik,” katanya.

    Rakannya Irahuddin Md Salleh, 36, berkata, kerjasama 11 peserta projek memudahkan mereka melakukan pelbagai tugas di tapak itu secara sukarela sambil beriadah. Katanya, kejayaan peserta projek juga mendapat pujian pelbagai pihak seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pahang yang menjadikan projek itu sebagai contok kepada KRT lain di Pahang.

    “Setiap dua hingga tiga minggu sekali, kami menjual sayuran dengan harga berpatutan kepada penduduk setempat. Ada juga pembeli datang sendiri ke tapak projek untuk memetik sayuran. 

    “Mereka seronok berbuat demikian. Sambil memetik sayur, boleh lihat pelbagai jenis pokok bunga yang ditanam di sini,” katanya tidak menyangka projek diusahakan mendapat perhatian banyak pihak. Menurutnya, peserta merancang meluaskan projek itu secara berperingkat dengan tanaman seperti pisang, ubi kayu, betik dan tebu yang menjadi pelengkap kepada usaha secara sukarela itu.

    “Ia bagi mencapai sasaran pendapatan hasil jualan sayuran dan tanaman ditetapkan Pejabat Pertanian Daerah projek ini sebanyak RM5,000 tahun ini,” katanya yang berharap lebih banyak penduduk taman perumahan mengusahakan projek tanamam sayur seperti itu.

    Beliau berkata, sambil berkebun peserta dapat berbincang menyelesaikan pelbagai masalah peringkat taman dan paling seronok ketika memungut dan menjual hasil kepada pelanggan yang kebanyakanya penduduk setempat. Katanya, sayur yang bebas racun serangga menjadi faktor ramai pengguna berminat mendapatkannya secara berterusan.

    Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Kuantan Amir Dzulfadli Samad berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan Projek Pertanian Bandar KRT Taman Kampung Padang Jaya Zon A itu dan diharap ia menjadi projek contoh.

    “Bantuan sesuai akan terus diberikan bagi memastikan projek itu berjalan lancar, seterusnya memberi pulangan menguntungkan kepada peserta walaupun ia dilakukan secara sambilan bagi memenuhi masa lapang.

    “Bagi pihak Pejabat Pertanian Daerah Kuantan bantuan yang sesuai terus dilakukan selain turut melantik seorang pegawai untuk memantau projek bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya. 

    Beliau berkata, kempen menjayakan projek pertanian bandar akan dilakukan di semua taman perumahan di daerah ini. “Kerjasama dan muafakat penduduk setempat faktor utama kejayaan sesuatu projek,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Berkebun Sambil Beriadah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top