Makanan dari Boneo sememangnya cukup lazat untuk dinikmati. Sebut sahaja juadah makanan Borneo seperti Mee Kolok, Mee Sapi, Laksa Sarawak, Mee Jawa, Mee Wantan mahupun Manok Pansuh, ianya hanya boleh didapati andai kita mengunjungi Sarawak kerana makanan seperti ini amat mudah ditemui di Sarawak.
Begitu juga dengan juadah seperti kuih Celorot, pelbagai jenis kek lapis, Kek Lumut dan pelbagai masakan Sarawak yang majoritinya sukar untuk dijumpai di Semenanjung. Malah tidak keterlaluan juga "air tradisi" Sarawak seperti air tuak original juga sebenarnya agak sukar dijumpai. Jika ada sekalipun, harganya pasti agak tinggi untuk dibeli.Namun, inisiatif Galaxy Ampang Mall (GAM) yang membuka lorong jualan yang dikenali sebagai Borneo Street dan Little India di level bawah, kompleks membeli belah di Ampang, Kuala Lumpur ini, sedikit sebanyak memperkenalkan kepelbagaian hidangan Borneo dan sekaligus mengubat kerinduan anak perantau Borneo di Lembah Klang.
Bayangkan, disini anda boleh menikmati Mee Kolok, Mee Sapi dan Laksa Sarawak original pada harga RM 6 semangkuk dimana ianya dimasak sendiri di sini. Begitu juga dengan Mee Jawa dan Wantan Mee yang dijual pada harga RM 5 semangkuk. Kesemua ini disediakan oleh anak Borneo ditapak jualan mereka sendiri.
Malah lebih menarik lagi, ada para peniaga yang menjual pelbagai sayur-sayuran segar temasuk pes Laksa Sarawak yang cukup sukar ditemui di Semenanjung. Semuanya dijual pada harga yang cukup berpatutan dan ianya sekaligus membawa masakan dan hasil makanan Sarawak lebih dekat kepada penduduk di Lembah Klang.
Tidak dilupakan deretan pilihan kek lapis yang sememangnya cukup sinonim dengan penduduk Sarawak. Kek-kek seperti kek lapis masam manis, durian cheese, coklat horlick, yam coklat, lumut cheese dan pelbagai lagi jenis kek lapis boleh ditemui di sini. Harga yang ditawarkan adalah dari RM 12 hingga RM 15 mengikut jenis dan berat kek berkenaan.
Begitu juga "raja segala kek Sarawak" kek Ati Parek juga ada dijual di Borneo Street. Bagi mereka yang tidak tahu atau agak janggal dengan nama kek ini, kek ini diperbuat berasaskan kismis yang diblend serta dikukus selama 8 jam tanpa henti. "Adiknya", kek sarang semut juga turut ada dijual disini. Bagi kek Ati Parek, harga jualan adalah RM 25 dan bagi kek sarang semut pula, RM10.
Borneo Street dan Little India di Galaxy Ampang Mall ini dibuka setiap hujung minggu dari jam 10 pagi hingga 9 malam. Sehingga kini sambutan yang diterima cukup menggalakkan samada dari anak Borneo itu sendiri mahupun dikalangan penduduk tempatan.
Jika anda ingin mengenali masakan Sarawak terutamanya masakan dan penyediaan makanan yang disediakan oleh anak Borneo sendiri, jemput datang ramai-ramai ke Galaxy Ampang Mall kerana pastinya, anda tidak akan menyesal berkunjung di sini.
0 comments:
Post a Comment