My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 6 August 2016

    Kemerdekaan Negara Boleh Tergugat Jika Rakyat Tidak Sehati Sejiwa: Tawfiq




    Kemerdekaan yang dikecapi negara ketika ini boleh tergugat jika seluruh lapisan rakyat terus lalai dan alpa serta tidak bersatu hati untuk bersama-sama berusaha mempertahankannya, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. 

    Tawfiq berkata menuntut kemerdekaan merupakan satu perkara yang sukar, namun, untuk mempertahankan kemerdekaan itu adalah lebih sukar dan memerlukan kerjasama daripada semua rakyat untuk terus sehati sejiwa memelihara keharmonian negara.

    “Kita tidak akan dapat menikmati kemerdekaan selama-lamanya jika kita tidak menjaga kemerdekaan itu. Jika kita terus lalai dan alpa, kemungkinan kemerdekaan negara boleh kembali tergugat dan dirampas oleh orang lain,” katanya sebelum melepaskan peserta Konvoi Kembara Super Bikers di sini semalam.

    Konvoi Kembara Super Bikers itu merupakan siri kedua jelajah anjuran Jabatan Penerangan sempena Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2016 yang dijadual berlangsung malam ini, di sini.

    Konvoi menggunakan motosikal berkuasa besar disertai 22 belia Tawau itu diketuai Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang menjelajah Kunak, Semporna serta Tawau bagi membawa misi patriotisme dan mengedarkan Jalur Gemilang.

    Mengulas lanjut, Tawfiq mahu seluruh rakyat Malaysia menjadikan insiden pencerobohan kumpulan militan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 sebagai iktibar untuk terus mempertahan keamanan dan kedaulatan negara ini.

    Tawfiq berkata peristiwa hitam itu perlu terus diingati dan disemat dalam sanubari rakyat terutama generasi muda tentang betapa pentingnya menyemai semangat nasionalisme dan jati diri tinggi agar kemerdekaan negara terus dipelihara dan tidak mudah diganggu-gugat oleh orang lain.

    Di samping itu, beliau juga mahu rakyat Malaysia yang berbilang bangsa terus memperkukuh perpaduan kaum selain mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menyebarkan dakyah negatif yang boleh menimbulkan perasaan kebencian antara satu sama lain. 

    Mengenai pemilihan Tawau sebagai tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2016, Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata ia merupakan penghormatan kepada daerah itu.

    “Saya berharap rakyat menjadikan sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini, untuk kita bersama-sama mengeratkan perpaduan dan semangat kesatuan. Walau di mana kita berada kita adalah rakyat Malaysia,” katanya. Buat julung kalinya, Sabah dipilih menjadi tuan rumah hari pelancaran itu dan Tawau yang terletak kira-kira 555 kilometer dari ibu negeri terpilih sebagai lokasi pelancaran.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kemerdekaan Negara Boleh Tergugat Jika Rakyat Tidak Sehati Sejiwa: Tawfiq Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top