Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2016 peringkat kebangsaan yang diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini malam tadi berlangsung penuh meriah dan warna-warni. Majlis yang bermula pukul 7 malam itu dihadiri kira-kira 30,000 rakyat pelbagai kaum dari seluruh negara.
Pelbagai acara diadakan sepanjang majlis berlangsung antaranya persembahan kebudayaan melibatkan lebih 20 kaum dan etnik yang terdapat di negeri ini. Hadir melancarkan majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri setiap rakyat Malaysia. “Majlis pelancaran bulan kemerdekaan ini diadakan agar setiap rakyat di negara ini memahami konsep patriotisme demi menjaga kedaulatan negara.
“Semangat ini bukan hanya dilontarkan dengan kata-kata indah, tetapi perlu disertakan dengan komitmen dan minda sebagai sebuah rakyat berdaulat,” katanya.
Tambahnya, setiap rakyat di negara ini juga perlu mengetepikan perbezaan pendapat serta fahaman politik demi menjaga keselamatan dan kedaulatan Malaysia. “Sambutan sebegini bukanlah berunsur politik tetapi ia sebagai bukti kecintaan kita terhadap negara,” katanya.
0 comments:
Post a Comment