Google Malaysia Sdn Bhd (Google) menerusi YouTube Malaysia melihat perkembangan 40 peratus muatnaik video tempatan di dalam aplikasi berkenaan dari tahun ke tahun boleh menggerakkan aktiviti ekonomi kepada pencipta kandungan kreatif Malaysia.
Malah, pengaruh YouTube di peringkat global yang mempunyai satu bilion penonton sebulan membolehkan pencipta kandungan Youtube tempatan mengeksport karya mereka di luar negara.
Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, pihaknya juga melihat orang ramai lebih gemar menjadikan platform YouTube sebagai destinasi bagi menonton pelbagai kandungan kreatif sama ada untuk hiburan, pendidikan mahupun berita.
"Malaysia mempunyai potensi bagi industri kreatif untuk dipaparkan dan YouTube masih lagi luas dan boleh diterokai. Malah, kepelbagaian bahasa yang terdapat di negara ini menjadikan kandungan kreatif tempatan lebih unik.
“Bagi menjadikan aktiviti memuatnaik video pembuat kandungan kreatif di YouTube lebih agresif di Malaysia kita telah merancang untuk mewujudkan lebih ramai golongan berkenaan yang dikenali sebagai ‘YouTuber’ menerusi aktiviti pameran bergerak, YouTube Broadcast Box,” katanya pada majlis pelancaran YouTube Broadcast Box yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.
Pada majlis itu, menerusi kempen yang dijalankan pada siri pertama di Universiti Sunway, orang ramai boleh menggunakan YouTube Broadcast Box dari 1 hingga 5 Ogos bermula pada 10 pagi hingga 6 petang bagi mempelajari cara menghasilkan dan menyunting video.
0 comments:
Post a Comment