Bukan lagi satu rahsia, bekas penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang usahawan berusia 30-an yang hanya ingin dikenal sebagai Hafiz pada 17 September 2016.
Menghitung hari bahagia yang hanya berbaki sebulan lebih dari sekarang, Fara atau mesra disapa sebagai Fafau berkongsi rasa bahagianya pada satu sidang akhbar di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, Petaling Jaya kelmarin.
Bukan berniat untuk menyembunyikan sesuatu perkara yang baik, pemilik nama sebenar Farah Fauzana Mohd. Fadzil itu tidak mahu lagi berdolak-dalik mengenai jodoh. Jika sebelum ini dia dikaitkan dengan beberapa jejaka, dia lebih rela mengunci mulut daripada melontarkan sebarang pendapat kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Maka, benarlah kata pepatah, kalau sudah jodoh, tidak akan lari ke mana. Fara bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihannya sendiri. Menginjak usia 36 tahun, pengacara program Muzik Muzik itu ketika ditemu bual tidak lekang senyuman terukir di bibirnya.
Cermat dalam menjawab setiap pertanyaan sambil diselang-selikan dengan gurauan manja, dia mengupas sedikit demi sedikit apabila ditebak persoalan mengenai lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu.
“Kami dipertemukan oleh seorang teman dua tahun lalu dalam satu majlis. Sepanjang berkenalan, dia seorang yang pendiam. Kalau keluar bersama, kami tidak berdua tetapi ditemani rakan-rakan lain.
“Sebelum ini saya digosipkan dengan pelbagai cerita yang bukan keluar daripada mulut saya sendiri. Saya hanya berdiam diri sahaja dan apabila orang bertanyakan kesahihan hal itu, saya tidak memberikan komen dan hanya meminta mereka mendoakan kebahagiaan diri saya. Alhamdulillah, jodoh saya sudah sampai akhirnya,” ujarnya.
Menghormati keputusan empunya diri yang tidak mahu terlalu memperincikan mengenai bakal suami, Fara bagaimanapun sempat diusik oleh teman media mengenai fizikal lelaki yang bakal menjadi penyeri hidupnya itu nanti.
“Dia mempunyai janggut dan saiz badan dia tidak gemuk atau kurus. Orang kata, sedap-sedap sahaja,” selorohnya menggamat suasana di dalam dewan.
Diajak berbicara nilai istimewa yang ada pada diri Hafiz yang membuat hatinya terpaut, Fara mendedahkan bahawa dua ciri yang membuat dia yakin dengan pilihan untuk bergelar isteri kepada usahawan tersebut iaitu keperibadian dan pegangan agamanya.
“Insya-Allah, saya yakin dia akan menjaga saya dengan baik kerana pegangan agamanya yang kuat. Itu paling penting buat saya. Dia mempunyai keperibadian yang baik. Sepanjang berkenalan dengannya, saya dapati dia merupakan seorang yang sangat penyabar. Dia banyak bersabar dengan kerenah saya yang umum mengetahui seorang yang ‘gila-gila’,” ulasnya yang mengakui setiap pertemuan dengan kekasihnya itu diatur oleh rakan-rakannya.
Fara memberitahu, pada awal perkenalan, lelaki tersebut tidak begitu menyedari bahawa dirinya adalah seorang selebriti dan beransur-ansur hakikat tersebut diterima baik oleh bakal suaminya itu.
“Sewaktu mula-mula kenal, dia tidak tahu saya seorang selebriti sehingga pada suatu masa, kami sedang keluar dia ternampak wajah saya di surat khabar. Barangkali dia tidak perasan kerana waktu itu belum bertudung agaknya (senyum) dan mungkin dia kenal Fara yang ‘lama’,” kata Fara.
Persiapan, gemuruh Restu keluarga adalah perkara terpenting buat dirinya. Ujar Fara, dia dan bakal suami tidak bertunang tetapi kedua-dua keluarga ada berjumpa sekitar Februari lalu untuk berkenalan dan terus berbincang soal menjodohkan anak masing-masing.
Dalam asyik berkongsi rasa bahagia, Fara berkata, dia mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga terutama ibu kandungnya, Faridah Abdul Jalil, 58, yang turut hadir pada majlis sama. “Ibu mana yang tidak gembira dengan berita anak bakal berkahwin dan saya berharap semuanya akan berjalan lancar,” celahnya.
Sementara itu, mengulas tentang konsep majlis perkahwinan, Fara hanya mengharapkan sebuah majlis yang sederhana dihadiri oleh keluarga dan teman-teman rapat sahaja. Majlis akad nikah akan berlangsung di Dewan Mustapha Kamal, Neo Damansara, Petaling Jaya pada pukul 9 pagi, diikuti majlis resepsi pernikahan pada pukul 12 tengah hari.
Katanya lagi, majlis bertandang pula dirancang berlangsung seminggu selepas acara akad nikah, di Kuala Lumpur. “Setakat ini, persiapan majlis boleh saya katakan sudah siap 60 peratus. Majlis nanti sederhana sahaja. Saya lebih utamakan keluarga dan kawan-kawan dan merekalah tulang belakang untuk merealisasikan majlis itu nanti,” luahnya.
Berbicara soal perasaan meniti hari bahagia, Fara tidak menafikan dia berasa sedikit gementar tetapi tiada lain yang diharapkan selain majlis berjalan dengan lancar. “Tipulah kalau saya kata saya tidak gementar. Alhamdulillah, keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan dan bantuan. Saya sangat bersyukur dan pada masa yang sama teruja menunggu hari itu nanti,” katanya ringkas menggulung bicara.
0 comments:
Post a Comment