Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) yang berlangsung tahun lalu membuka sedikit pintu untuk pisahkan kategori Filem Terbaik kepada dua iaitu Filem Terbaik FFM27 dan Filem Terbaik bukan di dalam bahasa Malaysia. Untuk FFM28, nampaknya lebih luas pintunya dibuka apabila tiga kategori dipisahkan iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.
Pengumuman senarai top 5 pada Rabu lalu mencetuskan pelbagai reaksi. Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan memboikot FFM28. Ada mengatakan mengapa perlu diwujudkan dua kategori, seolah-olah mahu melindungi pembikin filem Melayu.
Ini dikuatkan lagi berdasarkan senarai pencalonan filem di FFM28. Daripada lebih 30 filem, hampir separuh daripadanya adalah filem bukan dalam bahasa Malaysia dan kalau dipilih pula 10 terbaik daripada 30 filem ini, jelas ia didominasi filem bukan dalam bahasa Malaysia.
Apakah ia pencapaian membanggakan buat industri filem Malaysia atau satu penghinaan kepada bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Malaysia? Kita perlu meneliti dengan lebih mendalam tindakan ini. Mungkin ia dilihat cubaan untuk melindungi pembikin atau pengarah filem bahasa Malaysia tetapi hakikatnya, ia juga perlu dilihat sebagai satu cabaran buat pembikin dan pengarah filem bukan bahasa Malaysia.
Bagi mereka yang mempertikaikan pembahagian kategori ini, perlu diingat bahawa syarat untuk menyertai Filem Terbaik di FFM ialah mestilah menggunakan bahasa Malaysia sekurang-kurangnya 70 peratus. Tapi kini hampir separuh daripada filem yang dihasilkan di Malaysia oleh pembikin dan pengarah filem warganegara Malaysia, adalah karya bukan dalam bahasa Malaysia.
Sekali lagi, satu kebanggaan atas pencapaian pembikin filem kita atau penghinaan kepada negara? Apa akan berlaku jika syarat 70 peratus tersebut dimansuhkan dan pembikin filem di Malaysia sama ada yang memperjuangkan bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Melayu bersaing secara terbuka. Maknanya, pembikin filem bebas berkarya mengikut keselesaan mereka.
Dengan situasi sekarang, mungkin filem yang menyertai FFM pada masa akan datang didominasi filem bukan dalam bahasa Malaysia apabila pengarah Cina hasilkan filem dalam bahasa Cina, pengarah India hasilkan filem dalam bahasa Tamil dan akhirnya pengarah Melayu yang menghasilkan filem dalam bahasa Malaysia semakin layu.
Kalau dilihat dari segi mata kasar, untuk berjaya perlu bersaing secara terbuka. Memang benar, tetapi kalau dilihat dari konteks hasil karya, ia harus mencerminkan budaya dan masyarakat Malaysia.
0 comments:
Post a Comment