“SEGALA persoalan akan terjawab pada 15 Ogos ini,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin. Kenyataannya itu adalah sebagai mengulas mengenai kemungkinan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM sedia ada bakal mengikut jejak Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dikhabarkan bakal melepaskan jawatannya tidak lama lagi.
Pada 15 Ogos ini, FAM akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dianggap sebagai kunci ekoran satu keputusan rasmi berhubung ‘formula baharu’ yang diusulkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mengembalikan martabat sukan No. 1 negara itu turut diputuskan nanti.
Menurut Hamidin, barisan Exco FAM ketika ini boleh memegang jawatan mereka sehingga pemilihan baharu diadakan dua tahun lagi tetapi mereka juga mempunyai hak sama ada mahu mengikut jejak langkah presiden atau sebaliknya.
“Mana-mana pemilihan yang dilakukan dalam FAM perlu dibuat empat tahun sekali atau seperti dalam artikel 29 perlembagaan dengan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Satu per lima ahli gabungan boleh mengusulkan perkara itu atau Exco sendiri mahu pemilihan diadakan sama ada bagi jawatan presiden atau keseluruhannya.
“Mungkin pada 15 Ogos ini, mereka akan putuskan (berundur atau kekal). Saya akan turut memohon menghadap Tengku Abdullah sebelum mesyuarat Exco FAM dan kemudian status baginda sebagai Presiden FAM akan terjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Royal Selangor Club (RSC) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam. Kosmo! semalam melaporkan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab Johor Darul Takzim (Johor DT) bertitah, FAM perlu menggugurkan Presiden serta ahli Exco sedia ada dan menggantikan mereka dengan golongan yang berupaya bekerja demi kepentingan bola sepak negara.
Mengenai formula yang dinyatakan oleh Khairy Jamaluddin pula, Hamidin memberitahu, ia adalah perbincangan yang tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan rasmi dan mesyuarat 15 Ogos ini akan memuktamadkan semua perkara berkenaan.
0 comments:
Post a Comment