Mahkamah Perlembagaan Indonesia sedang mempertimbangkan menjadikan seks golongan gay sebagai satu jenayah bagi membendung keruntuhan moral dalam negara majoriti penduduk Islam itu. Tindakan tersebut dilakukan sejajar dengan desakan aktivis Islam yang menggesa kerajaan mengadakan perubahan dari segi undang-undang bagi menyekat masalah tersebut daripada semakin berleluasa.
Komuniti gay di Indonesia dikatakan semakin menular sejak awal tahun ini meskipun pemimpin-pemimpin agama dan menteri mengutuk termasuk menyekat laman web LBGT dan homoseksual.
Mahkamah mendengar semakan kehakiman yang difailkan oleh kumpulan aktivis Islam, Family Love Alliance yang bertujuan untuk mengubah kod jenayah bagi mengharamkan perbuatan seks dalam kalangan homoseksual.
“Kami lihat keruntuhan moral sedang berlaku. Semua ini dilakukan semata-mata kerana kasih kita pada negara. Kita perlu berbuat sesuatu sementara masih mempunyai peluang,” kata Pengerusi kumpulan tersebut, Rita Hendrawaty Soebagio kepada AFP.
Menurut Rita, pihaknya percaya pengaruh komuniti gay telah merebak terutamanya sejak Amerika Syarikat membenarkan perkahwinan sejenis di sisi undang-undang di seluruh negara itu tahun lalu. Di bawah undang-undang semasa, seks hanya haram untuk kedua-dua golongan homoseksual dan heteroseksual jika melibatkan individu bawah umur.
Semakan kehakiman telah difailkan pada Mei lalu dan mahkamah telah mengadakan lima sesi pendengaran termasuk satu minggu ini yang melibatkan saksi-saksi pakar. Pendengaran seterusnya dijadualkan pada bulan ini, namun masih belum ditentukan tarikhnya.
Mahkamah melalui laman web berkata, kes itu melibatkan keterangan daripada pakar-pakar kesihatan termasuk dakwaan bahawa seks gay boleh menyebabkan penyakit kelamin. Sebilangan kecil wilayah di negara ini, bagaimanapun telah meluluskan undang-undang Islam yang mengharamkan seks homoseksual.
0 comments:
Post a Comment