My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 6 August 2016

    Olimpik : Bienvenido a los Juegos Olímpicos de Río


    Tarian samba, pertunjukan bunga api dan suasana kemeriahan karnival Brazil menyelubungi Stadium Maracana pada Jumaat malam tatkala Rio menjadi tuan rumah Sukan Olimpik yang julung kali diadakan di Amerika Selatan. 

    Persembahan memaparkan keindahan dan keunikan kebudayaan Brazil membabitkan ribuan sukarelawan itu membuatkan kira-kira 70,000 penonton terpaku dan siaran langsung acara pembukaan sukan berprestij itu dianggarkan ditonton tiga bilion penduduk seluruh dunia.

    Acara penuh bertenaga selama empat jam itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Brazil dan diikuti persembahan beberapa artis dengan koreografi diiringi cahaya laser dan pertunjukan bunga api, membawa mesej selamatkan hutan di negara itu dan planet daripada perubahan iklim.

    Kalangan ketua negara termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Ban Kim Moon, Presiden Perancis Francois Hollande dan Pemangku Presiden Brazil Michel Temer turut berada dalam suasana berpesta sebaik sahaja bermulanya pertunjukan bunga api dan persembahan penuh warna-warni oleh 5,000 sukarelawan.

    Bagaimanapun, lima jam sebelum bermulanya upacara pembukaan, pasukan keselamatan menutup jalan dalam radius lima kilometer di sekeliling bangunan stadium ikonik dengan kapasiti 78,600 tempat duduk itu. Dalam pada itu, terdapat sekumpulan kecil mengadakan protes di luar stadium, susulan kemelesetan di negara itu, dakwaan rasuah dan kos penganjuran temasya Sukan itu.

    Upacara tanpa menggunakan banyak teknologi canggih itu susulan pemotongan bajet yang besar daripada AS$113 juta (RM456 juta) pada awalnya kepada AS$55.9 juta (RM226 juta) tidak menghalang pengarah artistik Fernando Meirelles daripada mempersembahkan acara penuh gilang gemilang.

    Malaysia memasuki stadium sebagai kontinjen ke-119 daripada 206 negara dalam acara perbarisan itu dan kontinjen 10 atlet yang mewakili pelarian. Didahului jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei selaku pembawa bendera, kontinjen dibarisi 32 atlet itu tampil bergaya mengenakan baju kurung dan baju Melayu warga jingga, lengkap dengan selendang dan samping dengan motif belang harimau.

    Malaysia akan memulakan penyertaan dalam Olimpik ke-31 ini dengan azam untuk menamatkan penantian selama 60 tahun bagi pingat emas dan harapan disandarkan pada Chong Wei, yang membuat penampilan terakhir pada temasya itu sebagai tanda perpisahan.

    Pasukan berbasikal negara tidak mengambil bahagian dalam acara perbarisan kerana dijadual tiba di Rio esok selepas sebulan menjalani latihan di Portugal. Malaysia mengutip satu pingat perak menerusi Chong Wei dan satu pingat gangsa daripada ratu terjun negara Pandelela Rinong, dalam edisi sebelum ini di London empat tahun lalu.

    Kontinjen negara memasuki stadium mengikut susunan abjad Portugis, sambil melambaikan tangan kepada penonton. Sebelum bermulanya pembukaan rasmi Sukan itu, pemanah Korea Selatan, Kim Woo Jin mencipta rekod Olimpik dan rekod dunia apabila atlet itu memecahkan rekod recurve individu lelaki dengan mengumpul 700 mata daripada 72 anak panah.

    Beliau memecahkan rekod dipegang rakan senegaranya Im Dong-Hyun dengan catatan 699 mata pada Olimpik London 2012. Legenda bola sepak Pele tidak menyalakan obor Olimpik kerana ikon berusia 75 tahun dan pemenang Piala Dunia sebanyak tiga kali itu tidak sihat dan menjalani pembedahan di pinggang awal tahun ini.

    Temer mengisytiharkan pembukaan Sukan itu dengan rasminya selepas Brazil selaku kontinjen terakhir memasuki stadium dengan disambut tepukan gemuruh penonton, selesai menyempurnakan perbarisan itu. Pentas sudah bermula bagi 10,000 atlet untuk memburu kegemilangan dalam temasya selama 17 hari yang akan menutup tirai pada 21 Ogos.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Olimpik : Bienvenido a los Juegos Olímpicos de Río Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top