Bilangan pesakit kritikal yang dipindahkan ke hospital di tanah besar Sabah menurun dengan ketara selepas kemudahan perubatan dan jumlah pakar ditambah di Hospital Nucleus Labuan. Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali berkata penambahbaikan sejak dua tahun lepas yang memberi tumpuan kepada keperluan pesakit, beransur-ansur dipenuhi.
“Kerajaan serius dalam penyampaian perkhidmatannya. Dengan penambahbaikan ini, pesakit terutamanya anggota keluarga tidak lagi perlu risau tentang kemudahan yang disediakan di sini, yang mendapat sokongan pakar kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis dialog dengan pemimpin masyarakat dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) sempena sambutan Aidilfitri di sini semalam. Bilangan pesakit akut yang dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu sama ada melalui udara atau laut sepanjang lima tahun lepas menurun daripada empat kes kepada satu atau sifar sebulan, katanya.

Mengenai perolehan bot ambulans, beliau berkata kelulusan telah diberi oleh Jabatan Laut Labuan untuk mengambil alih operasi bot jabatan itu dan untuk dilengkapkan dengan peralatan perubatan. “Kami jangka bot ambulans itu beroperasi tahun depan dan ini akan membantu dalam mengurangkan kos mengangkut pesakit ke tanah besar,” katanya.
0 comments:
Post a Comment