My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 5 August 2016

    Rangka Undang-Undang Lindungi Jerung Dan Pari Di Sabah: SSPA




    Persatuan Perlindungan Jerung Sabah (SSPA) menyambut baik pengumuman bahawa Sabah mempunyai kuasa untuk mengharamkan aktiviti memburu jerung di kawasan perairan di negeri ini. Pengerusi SSPA Aderick Chong berkata walaupun terdapat potensi cabaran perundangan antara bidang kuasa persekutuan dan negeri, satu kaedah membina diperlukan dalam menyokong perlindungan ikan jerung dan pari di Sabah. 

    Persatuan itu berkata kerajaan negeri dan persekutuan perlu mengekalkan momentum dengan merangka undang-undang yang berkesan dalam penangkapan dan penggunaan jerung, di kedua-dua dalam dan luar kawasan perlindungan marin di Sabah.

    “Kami meminta kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk membuat perubahan dalam Akta Perikanan sebagaimana yang diperlukan.

    “Memandangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengumumkan bahawa Sabah boleh menggubal undang-undangnya sendiri untuk mengharamkan pemburuan jerung bagi melindungi haiwan itu di Sabah, SSPA menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri supaya mengambil tindakan terhadap perkara itu.

    “Di luar kawasan perlindungan Taman Marin Sabah atau santuari jerung, kementerian negeri di bawah Datuk Seri Yahya Hussin boleh mempertimbangkan untuk meletakkan pengharaman pendaratan jerung, menyembelih dan perdagangan spesies reef shark yang sudah berkurangan dan menyenaraikan spesies terancam,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

    SSPA mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun bahawa sekiranya negeri menggubal undang-undangnya sendiri untuk mengharamkan pemburuan dan pengambilan sirip jerung, ia boleh menyebabkan undang-undang tempatan dicabar.

    Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini berkata Sabah mempunyai kuasa untuk mengharamkan aktiviti memburu jerung. Masidi dipetik sebagai berkata Sabah hanya boleh menggubal undang-undangnya sendiri sekiranya undang-undang itu tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan dalam Akta Perikanan yang kini dikuatkuasakan di negeri itu.

    Chong berkata SSPA juga melihat secara positif cadangan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menyenaraikan jerung di bawah cadangan Akta Perlindungan Haiwan Marin yang kini dalam peringkat penyelesaian teknikal antara dua menteri dan pihak berkuasa persekutuan dan negeri.

    Sementara itu, Pengarah Shark Stewards, David McGuire berkata ahli pemuliharaan lautan di seluruh dunia memuji kepimpinan kerajaan Sabah dan persekutuan dalam mewujudkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada jerung dan laut. “Menyelamatkan jerung dan ekosistem terumbu karang menyokong pekerjaan, pelancongan dan mengekalkan biodiversiti Borneo,” katanya.

    Shark Stewards merupakan satu daripada lapan anggota SSPA, yang lain ialah Land Empowerment Animals People (LEAP), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (cawangan Sabah), Persatuan Pemuliharaan Marin (MCS), Shark, Education, Awareness and Survival (SEAS), Scubazoo, Tropical Research and Conservation Centre (TRACC) dan WWF-Malaysia.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif LEAP Cynthia Ong berkata undang-undang baharu atau dipinda perlu ditambah dengan usaha untuk membantu nelayan ikan yu mencari sumber alternatif dalam mata pencarian mereka selain membantu sektor menyelam dan ekopelancongan.

    Dalam beberapa tahun ini, terdapat perubahan besar dalam sikap masyarakat terhadap jerung dan sup sirip ikan yu di Sabah, dan kesedaran meningkat menyebabkan perlunya ada tindakan. Gambar mengenai sirip ikan yu yang dipotong di Pulau Mabul, Semporna tersebar dalam media baru-baru ini, meningkatkan tekanan terhadap kerajaan persekutuan untuk membuat pendirian berhubung keinginan Sabah untuk melindungi jerung, perkara yang sering kali dibangkitkan pihak negeri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rangka Undang-Undang Lindungi Jerung Dan Pari Di Sabah: SSPA Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top