Amat sayu dan menakutkan. Itu gambaran di lokasi kejadian tragedi banjir lumpur di Ladang Sen Fu Sdn Bhd, Penangah, Tongod, di sini, menyebabkan rumah kongsi lima pintu yang terletak di tepi anak sungai didiami 11 keluarga warga Filipina ranap sama sekali sehingga lapan mangsa termasuk empat kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun hilang.
Timbunan bongkah batu ada antaranya sebesar tangki air 200 liter manakala puluhan kayu balak bersaiz dua pemeluk manusia bertaburan di lokasi kejadian dianggarkan berkeluasan 2,000 meter persegi.
Bongkah batu dan kayu balak itu dipercayai dari air banjir lumpur di bukit sejauh kira-kira 800 meter sebelum melimpah melalui anak sungai yang pada asalnya hanya satu meter lebar dan kini berubah menjadi seluas 100 hingga 200 meter lebar.
Tinjauan di lokasi juga mendapati rumah kongsi didiami 11 keluarga itu hanyut kira-kira 50 meter dari tapak asal dan ranap sama sekali akibat ditimpa bongkah batu dan kayu balak yang dihanyutkan arus dari kawasan anak Sungai Lidan.
Usaha SAR yang dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selama empat hari tidak menemui mangsa di lokasi kejadian dan hanya menemui beberapa helai pakaian kanak-kanak serta dewasa, selipar dan beberapa plastik makanan dipercayai milik keluarga terbabit.
Malah, lebih memilukan anggota bomba turut menemui satu keping papan lapis yang tertera tulisan dipercayai oleh kanak-kanak mengenai ahli keluarganya terbabit. Bukan itu sahaja, tinjauan sekitar lokasi kejadian mendapati beberapa jambatan ke lokasi kejadian rosak teruk akibat limpahan air yang membawa bongkah batu dan kayu balak sehingga menyukarkan operasi SAR oleh anggota bomba.
Selain jarak yang jauh dan balai bomba terdekat kira-kira 130 kilometer dari Keningau, operasi yang disertai 33 anggota itu turut berdepan kesukaran perhubungan dan komunikasi berikutan kedudukan lokasi bencana yang sangat terpencil.
Anggota bomba yang menjalankan operasi SAR terpaksa menempuh laluan balak dan kawasan ladang yang berbukit serta licin selain ketiadaan isyarat komunikasi telefon.
Ini kerana perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira tujuh jam dari daerah Keningau termasuk dua jam berjalan kaki berikutan banyak laluan ladang yang terputus akibat tanah runtuh selain dihalang timbunan batuan serta kayu balak akibat dihanyutkan arus deras.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Zuraidah Latip yang mengetuai operasi SAR berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada limpahan air luar biasa apabila takungan air di bahagian atas bukit pecah lalu mengalir deras dengan membawa bongkah batu dan kayu balak sebelum menghentam rumah kongsi didiami 11 keluarga terbabit.
Beliau berkata, operasi bermula pada hari kedua kejadian kerana kesukaran ke lokasi bencana yang terletak di tengah Sabah selain semua pergerakan terpaksa melalui darat yang lama kerana faktor jarak dan keadaan laluan yang teruk.
“Pada hari keempat operasi SAR diteruskan membabitkan 45 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di kawasan pantai barat Sabah termasuk Unit Storm dengan memfokuskan SAR di kawasan rumah mangsa dengan melakukan pemungkaran batu dan kayu balak, tetapi tiada penemuan mangsa.
“Kita juga tidak mengesan bau mayat di lokasi berhampiran rumah mangsa kerana jika ada mangsa yang tertimbus...pada hari ketiga dan keempat ia pasti ada bau dan kemungkinan pada hari kelima (semalam) kita akan beralih SAR di kawasan sungai,” katanya.
Sementara itu, pakar geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul berkata, tinjauannya menggunakan dron di lokasi kejadian mengesan dua tanah runtuh besar yang dipercayai menghalang aliran air sungai sebelum jumlahnya meningkat dan pecah. Katanya, tanah runtuh itu ada kaitan dengan aktiviti pembersihan hutan untuk perladangan kelapa sawit.
0 comments:
Post a Comment