My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 4 December 2017

    Laluan Mudah England




    Bekas pertahanan tengah England, Sol Campbell melahirkan keyakinan skuad Three Lions tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan peringkat kumpulan pada pusingan akhir Piala Dunia di Russia, tahun depan. 

    Diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, Panama dan Tunisia, bekas pertahanan Arsenal itu mengakui undian itu sedikit mengejutkannya namun percaya anak buah Gareth Southgate seharusnya mampu menamatkan aksi peringkat kumpulan sekurang-kurangnya sebagai naib juara kumpulan, sekali gus mara ke peringkat kalah mati.

    “Antara tiga pasukan itu, sudah pasti Belgium adalah halangan terbesar kerana secara teknikalnya, mereka antara pasukan terbaik dan memiliki ramai pemain berkualiti.

    “Manakala Panama, saya lihat mereka memiliki beberapa pemain yang mampu memberikan masalah kepada England namun mereka seharusnya tidak berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan ke atas Panama dan satu lagi pasukan iaitu Tunisia.

    “Dengan dua kemenangan ini, sudah tentu kedudukan selaku naib juara terjamin tapi dengan kualiti yang ada pada skuad England ketika ini, mereka seharusnya menyasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir,” katanya ketika ditemui pada sesi bertemu peminat di Subang Jaya City Centre, semalam.

    Pada majlis itu, lebih 100 peminat Gunners tidak melepaskan peluang untuk bertemu dan bergambar serta mendapatkan tandatangan bekas pertahanan yang juga pernah beraksi bersama Tottenham Hotspur itu.

    Ketika diminta mengulas mengenai kekalahan 1-3 Arsenal di tangan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam, pemenang dua Piala FA bersama Arsenal itu menjelaskan penjaga gol Red Devils, David de Gea menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan selesa pasukan pelawat.

    “Hanya ada satu elemen iaitu De Gea yang menjadi penghalang Arsenal memenangi perlawanan malam tadi. Anda sendiri saksikan begitu banyak percubaan Arsenal yang diselamatkan penjaga gol Sepanyol itu.

    “Jika dilihat Arsenal sepatutnya mendahului 4-2 pada babak pertama namun aksi cemerlang De Gea memberi perbezaan yang begitu ketara antara kedua-dua pasukan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Laluan Mudah England Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top