MATLAMAT stesen televisyen TV Alhijrah menjadi saluran yang memaparkan keindahan Islam di persada dunia semakin menuju puncaknya apabila stesen tersebut kini mengorak langkah lebih luas dengan kehadiran studio kedua, Al Hijrah Big Studio (ABS).
Mula beroperasi pada 1 Ogos lepas, ABS yang terletak di Cyberjaya itu merupakan studio terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan sehingga 800 meter persegi. Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Izelan Basar berkata, studio tersebut bukan sahaja menjadi pusat untuk penerbit melahirkan kreativiti mereka, malah dijadikan salah satu lokasi tumpuan untuk pelancong.
“ABS merupakan studio yang agak besar dilengkapi peralatan canggih yang sesuai dengan kehendak produksi untuk menjalankan pelbagai rakaman program.
“Ia juga akan dijadikan sebagai pusat pelancongan, terutamanya untuk pelancong dari Timur Tengah. Pelbagai aktiviti ditawarkan di sini seperti ceramah agama serta studio mini yang membolehkan pengunjung menggilap bakat mereka dengan membaca berita,” katanya yang ditemui di Pusat Penyiaran Digital TV Alhijrah, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyasarkan ingin menjadikan Malaysia sebagai pengeluar kandungan yang bersandarkan agama dan berada di tangga ke-10 teratas dunia, Izelan berkata, kehadiran ABS merupakan waktu yang sesuai untuk TV Alhijrah berkembang sehingga ke peringkat global.
Tambah beliau, seiring dengan penambahan studio baharu itu juga, sebanyak tiga saluran baharu yang beroperasi di bawah pucuk yang sama dijangka akan dilancarkan selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Dengan adanya dua studio ini, kami merancang untuk menambah tiga saluran baharu iaitu Hijrah Kids untuk sasaran penonton kanak-kanak, Hijrah Docu yang memaparkan dokumentari tentang keindahan Islam di negara luar serta Hijrah Ilmu yang mengupas perihal agama dengan lebih mendalam.
“Sudah sampai waktu untuk TV Alhijrah berkembang. Kami menyasarkan untuk ke peringkat global dan menjadi pengeluar kandungan bersandarkan agama yang berada di tangga ke-10 teratas dunia. Sehingga kini, stesen ini bukan sahaja ditonton oleh penonton tempatan, malah menjadi pilihan penonton luar negara yang mengikuti kami secara dalam talian,” ujarnya penuh yakin.
Ulang tahun
Berbicara soal perancangan lain untuk saluran sedia ada, dengan teruja Izelan sempat memberitahu hadiah menarik menanti penonton setia TV Alhijrah melalui program yang akan ditayangkan pada musim haji tahun ini. Malah lebih istimewa, bersempena dengan ulang tahun keenam penubuhan stesen TV Alhijrah, sebanyak 30 program baharu juga akan diperkenalkan.
“Berlainan pada musim haji tahun ini, buat pertama kalinya kita akan memberikan hadiah istimewa untuk penonton setia rancangan Labaikallah. Hadiah tersebut terdiri daripada sebuah kereta, tiga biji motosikal dan enam pakej mengerjakan umrah.
“Selain itu, istimewa sempena ulang tahun keenam TV Alhijrah pada awal Muharam yang akan jatuh pada 2 Oktober nanti, kami akan memperkenalkan 30 program baharu yang terdiri daripada rancangan bual bicara, program realiti, kuiz, drama serta telefilem. Menariknya, ia merupakan sentuhan kreatif daripada 30 penerbit muda TV Alhijrah,” tutupnya.
0 comments:
Post a Comment