Seorang lelaki bersenjata menembak mati seorang imam dan pembantunya berhampiran Masjid Al-Furqan Jame di wilayah perbandaran Queens di sini kelmarin. Polis berkata, imam itu, Maulama Akonjee, 55, dan pembantunya, Thara Uddin, 64, ditembak di Liberty Avenue, di kawasan kejiranan Ozone Park kira-kira pukul 2 petang (waktu tempatan).
Ozone Park yang terletak di sempadan di antara Queens dan Brooklyn adalah kawasan kediaman kelas pekerja dan komuniti muslim dari Bangladesh. Kedua-dua mangsa dengan kesan tembakan di kepala itu dibawa ke Hospital Jamaica sebelum mereka disahkan meninggal dunia.
Insiden tembakan itu berlaku ketika suasana sentimen antimuslim dan Islamophobia kian meningkat ekoran beberapa siri serangan pembunuhan beramai-ramai di Amerika Syarikat (AS) dan di luar negara. Kumpulan militan Daesh sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan itu.
“Kedua-dua mangsa diserang dari belakang sebelum suspek dilihat melarikan diri dengan sepucuk pistol,” kata jurucakap polis. Pegawai polis berkata, suspek masih bebas dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini. Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif kejadian.
Media AS melaporkan kedua-dua mangsa yang ditembak ketika mahu meninggalkan masjid itu selepas solat zuhur. “Siasatan awal tidak mempunyai petunjuk menyatakan mangsa dijadikan sasaran disebabkan kepercayaan mereka,” kata polis kepada wartawan.
Ketua Masjid Al-Aman di Brooklyn, Kobir Chowdhury pula berkata: “Ini adalah jenayah kebencian, tidak kira bagaimana anda melihatnya.” “Ia adalah kebencian terhadap kemanusiaan, kebencian terhadap umat Islam dan golongan Islamophobia adalah penyebab kepada permasalahan ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment