My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 7 February 2018

    Dapur Seni



    Berseni, kreatif dan cantik antara tarikan utama gambar masakan di laman sosial Instagram (IG) milik Helena Rizanie,38 atau lebih dikenali sebagai through_helenaeyes yang memaparkan teknik dan cara masakan yang ringkas dan mudah. Menurut Helena, semuanya bermula sekadar suka-suka kerana hobinya memasak dan mengambil gambar. 

    Dia sendiri tidak menyangka akan mendapat tidak balas yang baik daripada pengikutnya yang semakin bertambah setiap hari. “Saya memang gemar memasak sejak kecil dan mula dengan laman sosial IG sejak 2015. Pertama kali saya memasak pada usia 12 tahun dan resipi ketika itu adalah sambal kentang.

    “Arwah emak dan kakak memuji masakan saya. Sejak itu, jika letih atau kesuntukan masa, mereka akan meminta saya masak,” katanya. Jelasnya lagi, pujian daripada keluarga seakan jadi motivasi buat dirinya untuk belajar memasak dengan lebih mendalam.

    “Saya memilih platform di IG kerana mudah berinteraksi dengan pengikut yang kebanyakannya dari pelbagai peringkat usia. Dengan kemudahan media sosial yang ada, niat saya mahu berkongsi dan bertukar ilmu lebih mudah dan cepat.

    “Sejak memuat naik gambar masakan di IG ramai yang mesej (DM) bertanya mengenai resipi dan cara memasak. Saya sama sekali tidak menyangka akan mendapat respon yang sangat baik daripada pengikut,” katanya.

    Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia lebih bersemangat menjadikan through_helenaeyes sebagai rujukan pengikut selepas mendapat inspirasi daripada rakan blogger dan rakan di IG yang berkongsi minat sama.

    “Seronok apabila kita saling tukar resipi dari pelbagai negara dan budaya. Selain itu kita banyak belajar ilmu baru dan mendidik lelaki dan wanita supaya lebih gemar memasak sendiri berbanding makan di luar kerana lebih berkat dan terjamin.

    “Memasak adalah perkara yang menyeronokkan kerana kita akan merasa lebih puas dengan hasil air tangan sendiri. Sedap atau tidak adalah perkara kedua yang penting usaha,” katanya.

    Sehingga kini, Helena telah memasak ratusan jenis masakan termasuk dalam dan luar negara selain pelbagai jenis manisan serta kuih muih. Lebih menarik, semua gambar yang dimuat turun adalah hasil kerja tangannya yang nampak ‘mahal’ dan sempurna.

    "Saya mendapat ilham dari kawan,Pinterest dan juga Google.Tidak ketinggalan keluarga juga banyak memberi sokongan untuk menjadikan sosial media sebagai tempat rujukan koleksi menyimpan resipi.

    “Disebabkan sokongan yang tidak pernah putus membuatkan saya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak resipi dan gambar yang ‘hidup’ supaya mengikut lebih tertarik dan seronok untuk memasak,”katanya. Sebelum ini memasak hanya sinonim untuk golongan wanita sahaja. Namun Helena mempunyai pandangan berbeza kerana berpendapat golongan lelaki juga tidak terkecuali. 

    “Jika kita lihat kebanyakan cef terkenal dunia adalah dari kalangan lelaki malah kebanyakan pengikut saya juga adalah lelaki. “Ada antara mereka berjaya memasak resipi yang dikongsi bahkan dekorasi lebih cantik berbanding saya. Memasak adalah perkara menyeronokkan.

    Kita gembira sebab dapat makan masakan sendiri dan lebih seronok apabila dapat berkongsi makanan bersama yang tersayang. Kepuasan itu tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata,” katanya.

    Helena turut berhasrat menyebarkan lagi resipi yang sedap dan mudah supaya lebih ramai orang memilih untuk memasak sendiri. “Zaman ini semua mahu cepat dan siap sebab itu kebanyakan resipi saya agak mudah dan ringkas yang bahan-bahannya mudah didapati. Tidak semestinya resipi ringkas tidak sedap.

    “Kadang-kadang yang ringkas lebih enak. Misalnya macam kebanyakan dari kita cukup sekadar telur goreng dan kicap sahaja dimakan bersama nasi panas. Itu juga sudah membuka selera bukan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dapur Seni Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top