Tugas hakikinya sebagai jururawat jabatan pediatrik di sebuah hospital pakar di selatan tanah air. Namun, pada masa sama, Norassikin Mohd Kahar, 29, turut bergelar usahawanita pertanian yang berjaya apabila mampu menjadi penternak itik yang membekalkan telur serta itik di sekitar Melaka dan Muar, Johor.
Memanfaatkan tanah terbiar di belakang rumahnya di Kampung Parit Sidang Seman, Sungai Rambai, Melaka, Norassikin yang memulakan usahanya dengan hanya 20 anak itik pada April 2014, kini menternak 1,500 itik terdiri daripada itik telur, daging dan nila.
Sebab itu, ketika ramai dalam kalangan kita berkeluh-kesah dengan kos sara hidup yang meningkat sekarang, Norassikin tidak sedikit pun terkena tempias kegawatan ekonomi itu. Ini kerana, selain pendapatan sebagai jururawat, dia mendapat hasil yang lumayan daripada perusahaan ternakan itik.
Apa yang menarik, Norassikin menceburi bidang ternakan itik ini tanpa perlu meninggalkan kerjaya sebagai jururawat yang disandang sejak sembilan tahun lalu. Sebaliknya disiplin yang tinggi serta kebijaksanaan mengagih masa membolehkan dia menjalankan dua tugas serentak.
“Saya mengakui melakukan dua pekerjaan pada satu masa memang menuntut komitmen yang tinggi. Namun, dengan iltizam dan disiplin, saya mampu melakukan tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap kedua-dua bidang ini.
“Bidang kejururawatan sudah menjadi darah daging saya sehingga saya berasa sangat sayang untuk meninggalkannya. Apatah lagi, sudah sembilan tahun saya bergelar jururawat. Manakala, bidang ternakan, walaupun baru dua tahun diusahakan sudah memberi pulangan yang lumayan.
“Jadi, bagi memastikan kedua-dua bidang ini dapat diseimbangkan, saya mengatur masa saya sebaik mungkin. Sebagai jururawat, saya bekerja mengikut syif iaitu pagi, petang dan malam. Contohnya, apabila bertugas pada waktu pagi, tugasan memberi makan itik dan mengutip telur diserahkan kepada ayah (Mohd Kahar Haron) dan ibu saya (Arbakyah Jelani).
“Saya hanya mengambil alih tugas terbabit selepas pulang kerja. Begitulah sebaliknya jika saya bertugas syif petang, saya mengendalikan ternakan pada waktu pagi. Dan apabila bertugas malam, pulang pagi, saya pastikan tugas di ladang ternakan dibereskan sebelum berehat.
“Pada awalnya, memang ia agak meletihkan, tapi saya pastikan bidang ternakan yang saya ceburi ini tidak menjejaskan tanggungjawab sebagai jururawat. Alhamdulillah, dengan bantuan ibu bapa dan suami, Abdul Hadi Ibrahim, segala-galanya berjalan lancar,” ujar Norassikin.
Menceritakan pembabitan awalnya sebagai usahawanita pertanian, Norassikin mendedahkan, ia bermula sekadar untuk melayan minat anak tunggalnya, Dhia Dami Abdul Hadi, 3, yang sangat sukakan haiwan terutama anak itik.
“Pantang jumpa anak itik atau anak ayam, Dhia Damia pasti mengejarnya sehingga dapat. Saya nampak dia mempunyai sifat penyayang terhadap haiwan. Selain itik dan ayam, dia suka arnab dan kucing.
“Jadi bagi memenuhi minatnya, saya membeli 20 anak itik dengan harga RM3 seekor dan menternaknya di belakang rumah kami. Tidak sangka pula apabila semua itik ini dewasa dan menghasilkan telur, terdapat banyak permintaan.
“Dari situlah saya nampak perusahaan ternakan itik ini mempunyai potensi untuk dijadikan sumber pendapatan. Sedikit demi sedikit saya tambah jumlah itik dengan pelbagai jenis seperti itik telur, daging dan nila sehinggalah sekarang mencecah 1,500 ekor,” ujarnya.
Menurut Norassikin, dia mengeluarkan modal sendiri untuk membeli anak itik itu, namun meminta khidmat nasihat daripada Persatuan Penternak Melaka dan Jabatan Veterinar, Merlimau, Melaka, bagi memastikan ternakannya tidak dijangkiti penyakit atau diganggu binatang seperti anjing liar dan biawak.
“Saya membelanjakan lebih kurang RM2,000 sebulan untuk makanan itik ini. Pada masa sama, saya menanam buluh madu sebagai sumber makanan tambahan di samping memberi makan nasi dan dedak,” kata Norassikin.
Itik telur memerlukan tempoh empat bulan untuk matang dan mula menghasilkan telur sementara itik daging boleh dijual apabila mencecah usia dua bulan. Itik nila pula mengambil masa tiga bulan untuk dewasa.
“Memandangkan kami lebih banyak menternak itik telur, ia dapat menghasilkan antara 600 hingga 800 biji telur sehari atau purata 15,000 sebulan. Itik telur ini dapat menghasilkan telur selama dua tahun. Selepas itu itik ini dijual dan diganti dengan anak itik baru,” kata Norassikin.
Mengenai pasaran, Norassikin sudah mempunyai pelanggan tetap yang terdiri daripada restoran dan kedai makan di sekitar Sungai Rambai, Melaka dan Muar, Johor.
“Setiap restoran dan kedai makan membuat pembelian tiga kali seminggu. Purata dalam sebulan saya membekalkan 1,000 biji telur kepada setiap pelanggan. Saya kini mempunyai lapan pelanggan tetap, bermakna 8,000 telur sudah ada pembelinya setiap bulan.
“Di samping itu, saya juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan keraian serta dijual kepada penduduk sekitar. Selebihnya, saya jadikan telur masin yang juga dibekalkan kepada restoran dan kedai makan serta dijual kepada penduduk setempat.
“Dan sejak dua bulan lalu, saya turut memasarkan telur itik mentah dan telur masin di kios yang saya sewa di Hentian Rehat dan Rawat, Sungai Rambai menuju arah selatan. Kios ini dikendalikan seorang saudara saya dan saya hanya memantau atau sesekali ke sana apabila hari cuti.
“Selain telur, itik daging dan nila serta ayam kampung juga mendapat permintaan yang tinggi dan saya bekerjasama dengan Koperasi Persatuan Ayam Kampung Melaka (Kepak) untuk meluaskan pasaran dengan merancang membekalkan itik dan ayam kampung sejuk beku,” kata Norassikin.
Kejayaan Norassikin ini boleh dijadikan inspirasi kepada wanita lain untuk menceburi bidang pertanian. Ketika ramai wanita lebih cenderung membabitkan diri dalam perniagaan berasaskan kecantikan, Norassikin membuktikan bidang pertanian yang jarang diterokai oleh kaum wanita sebenarnya memberikan pulangan lebih lumayan.
0 comments:
Post a Comment