My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 22 March 2016

    "Terima Kasih Alfred Jabu"

    BERSEDIA: Adenan (empat kanan) bersama (dari kanan) Simoi, Razi, Uggah, Rentap, Robert dan Jabu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Perpaduan Debak, Betong, semalam.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, meletakkan satu pengakhiran kepada kerjaya politik yang menjangkau 42 tahun. 

    Sebaliknya, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan kembali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban. Ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Perpaduan Debak di sini, semalam.

    Adenan juga mengumumkan bahawa Simoi Peri dan Mohd Razi Sitam masing-masing akan mempertahan kerusi DUN Lingga dan Saribas. Sementara itu, bagi DUN Layar Adenan tidak menyebut nama calon sebaliknya hanya mengumumkan anak Jabu sendiri.

    Bagaimanapun, Adenan membiarkan Jabu untuk membuat keputusan mengenai siapa yang akan menggantikannya yang akan diumumkan pada masa terdekat. Sebaliknya, orang ramai menjangkakan Jabu akan memlilih anak lelakinya, Gerald Rentap, tambahan Gerald dijemput bersama bergambar sesudah pengumuman itu.

    “Ia adalah hari yang menyedihkan hari ini (semalam), sebagai salah seorang pemimpin lama berkhidmat membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

    “Terima kasih Timbalan Ketua Menteri, jadi perkhidmatannya akan direkodkan sebagai yang paling lama dalam sejarah Dewan Undangan Negeri,” kata Adenan.

    Beliau berkata, keputusan Jabu dibuat untuk kepentingan masa depan parti.

    “Jabu sentiasa dengan kami melalui gembira dan sedih. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Jabu akan dirasai secara mendalam,” katanya.

    Terdahulu, ketika berucap Jabu yang akan berusia 76 tahun Oktober tahun ini memberitahu mengenai niatnya untuk tidak mempertahankan kerusi Layar yang disandangnya sejak 1974 pada PRN 2016 ini. Jabu berkata, beliau bersedia untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin muda untuk memperkukuhkan parti.

    “Dalam 42 tahun yang lalu sejak saya menyertai PBB pada 1974, saya telah berkhidmat di bawah Allahyarham Tun Rahman Ya’akub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan kini Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

    “Jadi, saya bekerja di bawah tiga Ketua Menteri dan saya tidak pernah melakukan sikap menikam dari belakang,” katanya.

    Jabu memberitahu, keputusannya untuk meletak jawatan adalah berdasarkan kepada konsep kepentingan membangunkan pemimpin muda untuk masa depan. Beliau adalah seorang pegawai pertanian di Sibu sebelum masuk arena politik pada usia 33 tahun untuk bertanding di Engkilili-Skrang pada Pilihan Raya Kecil 1973 berikutan peletakan jawatan Simon Dimbab Maja.

    Beliau menang tanpa bertanding. Pada PRN 1974, Jabu menewaskan bekas Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Layar. Jabu berjaya mempertahankan kerusi itu selama sembilan penggal hingga kini.

    Pada PRN 2011, Jabu mengekalkan kerusinya dalam pertarungan empat penjuru untuk mengalahkan Joe Unggang daripada SNAP, Stanley Embat Pharoh Laja (PKR) dan calon Bebas Ngumbang Datu dengan majoriti 1,916 undi.

    Jabu seorang graduan Sains Pertanian Daripada Canterbury University, New Zealand adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negeri ini. Sementara itu, difahamkan penyandang kerusi Bukit Saban Robert Lawson Chuat dikenal pasti bakal bertanding di kawasan Parlimen Betong pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 menggantikan Uggah.

    Manakala Uggah dijangka melepaskan jawatan menteri kerajaan pusat untuk mengambil jawatan dalam kebinet negeri Sarawak selepas PRN nanti.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: "Terima Kasih Alfred Jabu" Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top