My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 21 March 2016

    Perginya Ratu Air Mata Jalan Ampas


    Seorang demi seorang bintang filem Studio Jalan Ampas meninggalkan kita. Selepas seniwati Mariani yang meninggal dunia pada 1 Disember tahun lalu, kelmarin seniwati yang sinonim dengan gelaran ratu air mata, Neng Yatimah, 92, pula pergi menghadap Ilahi pada jam 10.10 pagi di Hospital Khoo Teck Puat, Singapura akibat sakit tua. 

    Selain itu, Neng turut dikenali sebagai ibu dan mentua kepada pasangan pelakon hebat iaitu Allahyarham Roseyatimah dan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof. Pemergian Neng juga menyaksikan legasi seni keluarganya berakhir selepas kematian Rosyatimah akibat barah payu dara pada 14 Disember 1987 dan Mustapha pada 15 Disember 2014.

    Hari ini, tidak ada cucu-cucunya yang mengikut jejak langkah mereka bertiga. Jenazah Neng atau nama sebenarnya Buntat Ahmad dikebumikan di Pusara Abadi Jurong, Singapura selepas solat Asar, kelmarin.

    Sepanjang hidup Neng, Allahyarham cukup dikenali dengan filem lakonannya. Dikenali sebagai Ratu Air Mata, ramai yang akan tertanya-tanya “Apa hal dia ni kalau berlakon mesti nak menangis?” Kadang-kadang, terbit pula rasa kasihan dihati kita kerana berasakan Neng hanya diberikan watak sedemikian dan bukannya watak sebagai orang kaya, permaisuri atau sebagainya.

    Namun, itulah kelebihan Neng yang akhirnya membuatkan dia dikenali sebagai ratu air mata sehinggalah filem terakhirnya Mama Oh Mama pada 1981. Pendek kata, Neng kalau tidak menangis ketika berlakon memang tidak sah. Malah, kadang-kadang dalam temu bual bersama wartawan pun seniwati ini akan menangis.

    Sebenarnya, selepas kematian Mustapha, keadaan Neng yang turut mengalami masalah jantung dan kanser kolon semakin uzur. Sehari selepas menghadiri majlis pengebumian menantunya itu, Allahyarham dimasukkan ke hospital di Singapura selepas koma akibat sesak nafas dan tekanan darah rendah.

    Cucunya, Azlynna Mustapha dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, selepas disahkan menghidap kanser, neneknya beberapa kali menerima rawatan di hospital namun selepas itu beliau enggan meneruskan rawatan susulan.

    “Nenek kata dia tak nak rasa sakit selepas diberi rawatan susulan. Dia ada beritahu untuk menghembuskan nafas terakhirnya di Singapura seperti Allahyarham suaminya yang juga penyanyi Jasni Ahmad yang dikebumikan di Singapura,” katanya.

    Menurut Azlynna, walaupun keluarganya sudah beberapa kali meminta neneknya menetap di Malaysia, namun beliau menolak atas alasan ingin menghabiskan sisa hidupnya di Singapura. Azlynna berkata, ketika bapanya (Datuk Mustapha Maarof) meninggal dunia, Neng amat tertekan sehingga menjejaskan kesihatannya.

    “Selepas kematian anaknya, Roseyatimah, hubungan nenek dengan menantunya (Mustapha Maarof) amat rapat. Setiap kali Ramadan, arwah akan mengirimkan wang ke Singapura untuk ibu mentuanya itu,” katanya.

    Sejak uzur, Neng dijaga saudara terdekat, Isa Sawi di Woodlands, Singapura dan ketika itu walaupun tidak terlantar, pergerakannya agak terbatas.

    Dalam pada itu, kerjaya seni Neng yang bermula ketika dia berusia 19 tahun sebenarnya bermula secara tidak sengaja. Ketika itu dia berkunjung ke studio Malay Film Production (MFP) di Jalan Ampas untuk melihat idolanya, Siput Sarawak menjalani penggambaran dan kehadirannya itu disedari A R Tompel.

    Neng yang ketika itu sudah berkahwin dengan Jasni menjalani uji bakat di hadapan pengarah L Krishnan. Beliau berjaya melepasi ujian berkenaan, lalu ditawarkan berlakon dalam filem pertamanya, Takdir Ilahi dengan memegang watak utama pada 1950.

    Ketika bernaung di bawah studio MFP, Neng mendapat banyak tunjuk ajar daripada L Krishnan dan Tan Sri P Ramlee. Bersama studio berkenaan, beliau membintangi kira-kira 10 filem. Antara filem lakonannya termasuk Takdir Ilahi, Nilam, Patah Hati, Ibu dan Tas Tangan Wanita, Gadis Peladang, Siapa Salah dan Batu Belah Batu Bertangkup sebagai filem terakhir di Jalan Ampas, Singapura.

    Seniwati ini kemudian berhijrah ke studio Cathay Keris membintangi filem Jiran Sekampung. Filem lain di bawah Cathay Keris lakonannya ialah Lela Satria, Laila Majnun, Air Mata Duyung, Seri Mersing, Bapa Saya, Masyarakat Pincang, Seri Mersing dan Rachun Dunia.

    Filem terakhir lakonannya ialah Mama Oh Mama arahan Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud pada 1981.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Perginya Ratu Air Mata Jalan Ampas Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top