Sebut saja isu terbaru yang viral di media sosial, bukan saja orang dewasa bahkan kanak-kanak yang baru menjengah awal remaja juga tahu isu sama. Era kini, media sosial menjadi teman hidup seharian kita. Apa yang membimbangkan, terlalu banyak isu terbuka yang dibincangkan tanpa batasan terhidang kepada kanak-kanak sebelum usia sepatutnya.
UNTUK INDIVIDU 18 TAHUN KEATAS
Ahli Psikologi Yayasan Pulih dari Indonesia, Ika Putri Dewi berkata, media sosial sebenarnya kurang bagus didedahkan kepada remaja bawah 17 tahun. Rata-rata had pemilik media sosial ketika ini disarankan bagi individu sekurang-kurangnya berusia 18 tahun ke atas.
Faktor utama yang dikaitkan adalah berkaitan masalah kematangan. “Bagaimanapun, ramai yang menyoal fungsi media sosial yang bermanfaat kepada remaja. Dengan Internet, sesiapa saja boleh berkomunikasi dengan cepat dan mempelajari hal baru yang positif,” katanya pada Forum Diskusi Anak dan Media Sosial, baru-baru ini.
7-12 TAHUN MASIH MENCARI IDENTITI
Kanak-kanak di sekolah rendah khususnya bagi mereka berusia antara tujuh hingga 12 tahun masih dalam tahap perkembangan mencari konsep diri. Menurut Ika, pada tahap ini mereka belum terlalu memerlukan kumpulan sebagai teman kerana masih bergantung kepada ibu bapa.
“Bagi membentuk konsep diri, dedahkan mereka kepada kegiatan korikulum dan kursus sesuai dengan minat. Bukan hanya ia akan mendorong prestasi tetapi meningkatkan teknik komunikasi dengan rakan,” katanya.
Berbalik kepada teori psikologi, Ika berkata, kanak-kanak di bawah 12 tahun belum memerlukan media sosial. Jaringan Internet sudah memadai untuk dijadikan medium mencari maklumat.
“Ketika menginjak umur 12 tahun, kita boleh lihat media sosial dianggap keperluan untuk mereka mula mencari teman yang lebih luas. Kebanyakan remaja mempunyai akaun sendiri untuk bersosial. Jika ia digunakan ke arah positif, pasti memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
KETAGIHAN PENYEBAB ANTISOSIAL
“Ketagihan terhadap komputer dan media sosial secara amnya akan mengurangkan waktu bermain dengan rakan sebaya dan teman sekelas.
Bagi mereka yang terdedah kepada media sosial pada usia masih muda, hal ini akan mengganggu teknik komunikasi dengan kurangnya ilmu sosial dengan orang sekeliling,” kata Ahli Psikologi Ateneo Welline Center di Filipina, Thomas Batalia.
Disokong dengan analisis daripada kumpulan pengumpul data, ComScore menjelaskan, media sosial Snapchat popular dalam kalangan anak muda kini. Meskipun 71 peratus penggunanya di Amerika Syarikat terdiri daripada remaja 18 tahun dan ke atas namun tangga umur itu makin menurun ke usia 16 tahun.
Dalam isu ini, penulis berpendapat, kita sebagai Gen Y perlu lebih peka dengan kegunaan sebenar media sosial. Jika perlu, tetapkan syarat sepatutnya dan sentiasa mengawal gerak-geri adik atau ahli keluarga yang masih di bawah umur yang memiliki akaun media sosial supaya mereka tidak hanyut dengan komunikasi tanpa batasan ini.
0 comments:
Post a Comment