SKUAD bola sepak kebangsaan berlepas ke Jeddah semalam untuk melengkapkan kempen mereka pada saingan peringkat Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019. Mereka akan menentang Arab Saudi pada perlawanan terakhir tersebut awal pagi Jumaat ini dan apa yang pasti, impian skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk meraih kemenangan memang suatu yang sangat sukar.
Bukan bertujuan merendahkan kewibawaan skuad negara tetapi ia adalah berdasarkan prestasi Malaysia di pentas antarabangsa sejak beberapa tahun lalu. Andai beraksi di tempat sendiri pun terlalu mudah dibelasah, inikan pula bermain di tempat lawan.
Aksi terakhir itu merupakan pelengkap jadual buat skuad negara yang kini sedang dalam proses penyusunan semula untuk membentuk pasukan kebangsaan lebih berdaya saing seperti dijanjikan Kim Swee sejak dilantik menjadi jurulatih pada Januari tahun ini.
Dua pasukan ini sudah membuat perhitungan pada aksi pertama di Stadium Shah Alam pada September lalu, namun perlawanan tersebut dihentikan pada minit ke-88 gara-gara kekecohan penonton dan ketika itu Malaysia ketinggalan 1-2. Namun, Arab Saudi telah diberikan kemenangan percuma 3-0 dan Malaysia pula didenda beraksi dalam stadium tanpa penonton.
Bagi Kim Swee, walaupun tahu perlawanan terakhir menentang Arab Saudi ini memang sukar tetapi beliau mahukan barisan pemainnya membuktikan sesuatu dengan gaya permainan yang lebih meyakinkan.
“Sebelum ini, kita kalah 0-3 kepada mereka. Kita tahu Arab Saudi merupakan sebuah pasukan yang cukup kuat. Kali ini kita beraksi di tempat lawan, sudah tentu mereka memiliki keyakinan yang cukup tinggi.
“Saya harap semua pemain mengekalkan fokus serta beraksi dengan penuh berdisiplin. Ketika aksi di Malaysia, kita mampu memberi tentangan yang cukup hebat kepada mereka. Jadi, saya mahu pemain-pemain menampilkan aksi serupa pada perlawanan itu nanti,” kata Kim Swee ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
0 comments:
Post a Comment