Anggota Parlimen Myanmar semalam memilih Htin Kyaw yang merupakan penasihat kanan dan sahabat karib kepada ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi sebagai Presiden awam pertama negara itu.
Htin Kyaw, 69, menang 360 daripada 652 undi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di ibu negara Myanmar, Naypyidaw sekali gus memberi laluan untuknya menjadi proksi Suu Kyi bagi mentadbir Myanmar.
Pemenang hadiah Nobel tersebut disekat menjadi Presiden Myanmar bawah perlembagaan yang digubal oleh junta tentera. “Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa Htin Kyaw dipilih sebagai Presiden selepas mendapat undi terbanyak,” kata Speaker Parlimen, Mann Win Khaing kepada anggota Parlimen.
Pada November tahun lalu, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar dalam pilihan raya umum Myanmar yang membolehkan NLD menguasai kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sebelum ini, Suu Kyi berikrar akan memerintah Myanmar melalui proksinya selepas beliau dilarang daripada menjadi Presiden Myanmar kerana berkahwin dan mempunyai anak dengan warga asing.
Pemilihan Htin Kyaw sebagai Presiden Myanmar membayangkan kepercayaan penuh Suu Kyi kepada penasihatnya itu. Presiden baharu Myanmar itu akan menggantikan Thein Sein pada hujung bulan ini selepas lima tahun negara itu diperintah oleh kerajaan separa tentera yang disokong kepimpinan junta.
Dua calon lain yang turut bertanding dalam pemilihan semalam akan dilantik sebagai Naib Presiden Bersama Myanmar. Mereka terdiri daripada jeneral bersara, Myint Swe dan wakil rakyat etnik Chin, Henry Van Thio yang masing-masing memperoleh 213 dan 79 undi.
Majoriti undi Myint Swe datang daripada blok tentera di Parlimen. Tentera Myanmar diperuntukkan 25 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen negara itu.
0 comments:
Post a Comment