PROGRAM realiti nyanyian yang mencari bakat baharu penyanyi cilik, Ceria Popstar musim keempat (Ceria Popstar 4) kini kembali mempertaruhkan seramai 12 peserta cilik.
Antara peserta yang akan mewarnai Ceria Popstar 4 ialah Irfan Harris dari Johor, Muhammad Hady (Johor), Wafiy Irfan Ariffen (Kuala Lumpur), Hazmil (Sarawak), Muhammad Shahreza (Sarawak), Siti Amirah Dalili (Kuala Lumpur), Muhammad Aniq Iffat (Perak) dan Muhd. Fikri (Johor).
Tidak ketinggalan lima orang peserta dari Sabah iaitu Eylia Eyre Guntabid, Siti Junaidah, Mohamad Sharie, Fatma Naslin dan Farhana Naslyn (duo). Tiga penyanyi popular, Jaclyn Victor, Mark Adam dan Black Hanifah pula dipilih sebagai tenaga pengajar untuk semua peserta musim terbaharu program berkenaan.
Penolong Naib Presiden Astro Ceria & Segmen Remaja Astro, Hadzelynda Khairuddin, menyifatkan pencapaian memberangsangkan tiga musim terdahulu membuktikan Ceria Popstar berjaya mencapai misi melahirkan bintang cilik untuk masa hadapan.
“Kami membawakan kelainan pada setiap musim dari segi konsep dan pemilihan peserta sebab faktor itulah yang memberi keunikan kepada musim terbaharu Ceria Popstar 4.
“Contohnya, ada di antara peserta merupakan pelajar sekolah tahfiz dan terdapat juga peserta duo yang terdiri daripada pasangan adik-beradik,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar program berkenaan di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selaku penaung program, Datuk Aznil Nawawi melihat penyertaan kali ini didominasi peserta dari Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun kata Aznil, pemilihan peserta dibuat atas faktor bakat dan tidak dipengaruhi faktor lain.
“Sebenarnya pihak produksi dan juri yang menilai peserta semasa sesi uji bakat tidak meletakkan sebarang kuota peserta ikut negeri kecuali mengambil kira bakat milik masing-masing.
“Setiap lokasi uji bakat dihadiri lebih seribu peserta, jadi pemilihan berdasarkan siapa yang benar-benar layak,” jelas Aznil. Program Ceria Popstar 4 masih mengekalkan format penjurian 100 peratus oleh dua juri tetap serta seorang juri jemputan setiap minggu.
Tahun ini, Datuk Siti Nurhaliza dan Awie akan menerajui kerusi juri tetap menghakimi persembahan peserta. Salah seorang peserta, Muhammad Hady, 14, yang merupakan pelajar sebuah sekolah tahfiz pula berkata, walaupun belajar di sekolah tahfiz dan bakal bergelar hafazan al-Quran, dia tidak menjadikan status tersebut sebagai halangan untuk menyertai program nyanyian.
“Minat untuk menyanyi timbul sejak kecil selepas melihat kedua-dua kakak dan abang saya sangat aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.
"Mulanya keluarga agak berat membenarkan saya menyertai program ini tetapi selepas saya berjanji untuk tidak mengabaikan pelajaran dan hafazan al-Quran, akhirnya mereka bersetuju,” ujarnya yang tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian sebelum ini.
0 comments:
Post a Comment