My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 23 March 2016

    Sesuaikan Dengan Fizikal Si Kecil


    Kemalangan boleh berlaku secara tiba-tiba. Tidak dijangka dan tidak diduga. Namun kemalangan itu sedikit sebanyak boleh dielakkan andai aspek keselamatan diberi perhatian utama. Setiap tahun, kanak-kanak menjadi mangsa kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian ibu bapa. 

    Kurangnya pengetahuan dan tidak menitikberatkan keselamatan membuatkan kanak-kanak lebih berisiko maut apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya. Tidak memakai tali pinggang keledar, tidak duduk di kerusi khas untuk bayi dan maut akibat hentakan kuat beg udara antara sebahagian kemalangan yang dialami si kecil.

    Ada ibu bapa yang tahu dan sedar aspek keselamatan ini, tetapi enggan mematuhi atau mengamalkannya atas alasan leceh serta melewatkan perjalanan. Statistik oleh Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati kematian dalam kalangan bayi boleh dikurangkan sehingga 70 peratus, dengan 54 peratus untuk kanak-kanak berusia satu ke empat tahun.

    Kecederaan bagi kanak-kanak berusia empat ke tujuh tahun pula dapat dikurangkan sehingga 59 peratus dengan amalan dan penggunaan alat keselamatan di dalam kereta. Di Malaysia, penggunaan alat kekangan dan kerusi khas untuk kanak-kanak yang menaiki kenderaan bukanlah perkara mandatori, namun makin ramai kalangan ibu bapa yang menyokong penguatkuasaannya.

    Menurut Perunding Ortopedik, Pakar Bedah Trauma dan Pakar Bedah Ortopedik Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Ong Shong Meng, penggunaan alat kekangan dan kerusi khas ini diakui dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan pada si kecil.

    “Penggunaan alat kekangan atau kerusi khas kanak-kanak ini sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kecederaan pada kepala, leher dan torso.

    “Majoriti bayi dan kanak-kanak yang terbabit dalam kemalangan mengalami kecederaan teruk di kepala. Bayi yang berusia kurang setahun berisiko tinggi me­ngalami kecederaan dan kecacatan di kepala berbanding kanak-kanak pada usia selepas setahun.

    “Kecederaan serebrum sama ada lebam atau melecet, adalah jenis kecederaan kepala paling biasa dialami kanak-kanak.

    “Konkusi atau gegaran otak dan tidak sedarkan diri pula cenderung berlaku kepada bayi di bawah usia satu tahun. Bagi kanak-kanak antara satu ke tujuh tahun pula, mereka lebih cenderung mengalami keretakan tempurung kepala,” katanya.

    Selain itu, kanak-kanak terbabit berisiko mengalami keretakan tulang rusuk, kecederaan toraks dan paru-paru.

    “Kecederaan kepala paling serius kerana kanak-kanak itu akan mengalami kecederaan trauma otak yang membabitkan masalah neurofisiologi contohnya kanak-kanak itu akan mengalami kesukaran bercakap, membaca atau menulis.

    “Jika cedera di lobus frontal pula, ia akan membuatkan kanak-kanak itu me­ngalami skil komunikasi yang lemah hingga sukar bersosial dengan rakan sebaya,” tambah Dr Ong.

    Kesedaran keselamatan sejak kecil Bukan harga dan kuantiti yang perlu dititikberatkan ketika memilih kerusi khas atau peralatan kekangan ini tetapi kesesuaiannya dengan keadaan fizikal kanak-kanak terbabit. Ujar Dr Ong, pilih kerusi yang mengikut saiz si kecil dan sebaiknya biarkan anak duduk di kerusi itu sehingga menjengah sekolah rendah.

    “Kesedaran dan pengetahuan mengenainya itu sebenarnya perlu diberi perhatian agar penggunaannya berkesan.

    “Ada ibu bapa yang teruja membeli kerusi khas itu tetapi hanya diletakkan di tempat duduk belakang kereta sebagai hiasan. Anaknya pula dipangku di bahagian depan.

    “Jadi, amat penting ibu bapa dan kanak-kanak ini diberi pengetahuan serta kesedaran mengenai cara penggunaannya.

    “Tidak perlu membeli kerusi paling mahal atas alasan ia produk terbaik. Dapatkan yang sesuai dengan usia, saiz, ketinggian dan berat anak, di samping jenis kereta agar penggunaannya dapat dimaksimumkan.

    “Sentiasa gunakan kerusi itu setiap kali membawa anak kecil menaiki kenderaan walaupun hanya ke kedai berhampiran.

    “Sebaik-baiknya amalkan keselamatan pemakaian kerusi itu sehingga anak mula ke sekolah rendah dan ajarkan pula pemakaian tali pinggang keledar,” katanya.

    Selepas membeli kerusi khas yang bersesuaian, baca sepenuhnya manual pemasangan bagi mengelakkan kecederaan. Kebanyakan ibu bapa melakukan kesilapan ketika memasang kerusi khas itu yang kemudian memberi kesan negatif pada si anak. Kajian mendapati kedudukan kerusi khas kanak-kanak itu sebaik-baiknya di bahagian tengah tempat duduk belakang.

    Kedudukan ini didapati dapat mengurangkan sedikit risiko kecederaan apabila kemalangan berbanding kedudukan di bahagian lain. Kedudukan beg udara juga perlu diberi perhatian. Apabila si ibu atau bapa keluar berdua dengan anak, lazim­nya mereka meletakkan anak di tempat duduk penumpang hadapan.

    Alasannya untuk memudahkan pemantauan si kecil. Bagaimanapun, beg udara di bahagian depan boleh mencederakan malah membawa maut kepada kanak-kanak. Beg udara mengembang secara automatik, ada yang sepantas 20 milisaat apabila berlaku perlanggaran.

    Justeru, seeloknya letakkan anak yang berusia bawah 14 tahun di tempat duduk belakang dengan membelakangkan tempat duduk depan bagi mengurangkan risiko hentaman beg udara itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sesuaikan Dengan Fizikal Si Kecil Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top