My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 28 March 2016

    Impian Penduduk Miliki Jalan Akhirnya Tercapai

    TA02700

    Impian dan usaha keras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah merangkap Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang yang mahu melihat kawasan terpencil Nanga Jagau dihubungkan dengan dunia luar tercapai setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pembinaan jalan dari Nanga Ngungun ke Nanga Jagau sepanjang 22 kilometer. 

    Najib membuat pengumuman mengenai perkara tersebut ketika melakukan tinjauan mesra ke Rumah Taboh Rimau di Skim Penempatan Semula Rascom Nanga Ngungun dekat sini, semalam. Pembinaan jalan itu kelak akan membolehkan penduduk Ulu Ngemah yang dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun kembali ke kampung asal mereka untuk mengerjakan tanah yang lama mereka tinggalkan.

    “Kerajaan amat komited dalam menyediakan pembangunan untuk rakyat khasnya di luar bandar,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 3,000 penduduk setempat.

    Turut mengiringi Najib pada tinjauan di Rumah Taboh itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berserta isteri Susan Clement, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang serta para kenamaan yang lain.

    Menurut Najib, sebagai Perdana Menteri beliau berazam memajukan kawasan yang masih mundur di negara ini dan mahu rakyat merasakan bahawa kerajaan sedia ada pada masa ini amat prihatin dengan keperluan mereka.

    “Kedatangan saya ke sini hari ini untuk melihat apa yang kita boleh lakukan sebagai kerajaan,” katanya.

    Beliau meminta agar penduduk di skim penempatan itu tidak mendengar hasutan pembangkang yang hanya tahu memainkan sesetengah isu dan menyemai kebencian di kalangan rakyat terhadap kerajaan. Katanya dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah berbentuk inklusif dan hanya kerajaan yang ada pada masa ini mampu mengubah nasib penduduk di luar bandar.

    Pembinaan jalan itu nanti akan membolehkan penduduk Ulu Ngemah dipindahkan ke Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun, kembali ke kampung asal mereka untuk mengerjakan tanah-tanah yang telah lama mereka tinggalkan. Jalan itu akan memberikan akses pembangunan kepada tidak kurang 5,000 penduduk di Skim Penempatan Semula Rascom di Nanga Ngungun dan Nanga Jagau.

    Penubuhan Rascom atau Rajang Area Security Command dilaksanakan oleh Tun Razak pada 25 Mac 1972 untuk memerangi pengganas komunis. Kawasan penempatan semula ditubuhkan melibatkan Nanga Sekuau, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau, di samping di kawasan lebih kecil iaitu Nanga Dap dan Rantau Panjang.

    Penghuni rumah panjang terletak di kawasan pedalaman dikumpulkan dan dipindahkan ke penempatan baharu yang dilengkapi pos keselamatan, rumah panjang baharu, klinik kesihatan dan sekolah. Program yang dihentikan secara rasminya pada 9 November 1994 itu, bagaimanapun tidak memberi peluang pembangunan ekonomi kepada penduduk yang dipindahkan itu kerana tiada tanah untuk bertani.

    Mereka sebelum ini merayu agar kerajaan menyedia jalan perhubungan bagi membolehkan mereka berulang-alik ke tempat asal dari Nanga Ngungun yang memakan masa tujuh hingga 12 jam menggunakan perahu.

    Terdahulu, Alexander Vincent dalam ucapannya memohon agar pembinaan jalan tersebut mendapat perhatian Najib kerana beliau sendiri dan Aaron telah banyak kali mengajukan permohonan tersebut kepada Jabatan Perdana Menteri.

    Bagaimanapun, permintaan beliau itu terus mendapat kelulusan serta-merta daripada Najib pada majlis tersebut yang melegakan penduduk yang lama menunggu ia menjadi nyata. Sementara itu, Najib turut memberi peruntukan sebanyak RM600,000 untuk naik taraf asrama lelaki dan perempuan di SK Nanga Ngungun.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Impian Penduduk Miliki Jalan Akhirnya Tercapai Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top