My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 21 March 2016

    Ada Masalah Pembayaran? Sila Rujuk Pihak Bank



    Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil langkah awal bagi mengatasi masalah membayar semula pembiayaan sekiranya berdepan keadaan kewangan yang meruncing. 

    Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris BNM, Marina Kahar berkata, mana-mana usahawan yang berdepan masalah kewangan seharusnya mempertimbangkan untuk merujuk pihak bank bagi menyusun semula jadual pembayaran balik pinjaman mereka bagi mengelakkan lebih banyak tunggakan atau tindakan mahkamah.

    “Terdapat usahawan yang buntu sekiranya berdepan masalah kewangan dan sukar membuat bayaran balik pinjaman mereka. Ini menyebabkan tunggakan bayaran semakin meningkat dan lebih menyukarkan keadaan,” katanya, di sini.

    Menurutnya, usahawan perlu bertindak pantas dengan mendapatkan pandangan daripada pihak bank untuk permohonan penjadualan semula bayaran balik, namun sekiranya ditolak, mereka tidak seharusnya berputus asa dan boleh merujuk kepada Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) yang disediakan BNM sejak 2003.

    “SDRS dinaungi panel jawatankuasa bebas yang akan menilai profil perniagaan pemohon dan sekiranya menepati syarat ditetapkan, usahawan akan diberi peluang untuk membuat bayaran balik kepada bank mereka dengan kelonggaran tertentu.

    “Antaranya, mereka boleh meminta untuk menurunkan kadar faedah, melanjutkan tempoh pembayaran semula atau mengurangkan ansuran bulanan mengikut tahap kemampuan mereka,” katanya.

    Marina berkata, kadar kelulusan bagi permohonan SDRS adalah sekitar 83 peratus dengan 50 peratus daripada permohonan yang diluluskan berjaya bangkit semula daripada masalah kewangan yang dihadapi.

    Sepanjang tahun lalu, sebanyak 78 syarikat membuat permohonan dan daripada jumlah itu sebanyak 34 permohonan diluluskan untuk tujuan SDRS. Semua permohonan adalah percuma dan tidak perlu menggunakan pihak ketiga untuk menyelesaikannya.

    “Skim ini umpama peluang terakhir bagi usahawan dalam meneruskan perniagaan mereka. Ini kerana, kami percaya bahawa masalah kewangan adalah perkara yang biasa dihadapi usahawan, namun ia tidak bermakna mereka perlu berhenti berniaga sekiranya berdepan masalah ini.

    “Adalah lebih baik sekiranya permohonan dikemukakan selepas menghadapi kesukaran dalam tempoh satu atau dua bulan pertama. Jangan tunggu sehingga perniagaan sudah tidak lagi beroperasi atau berdepan tindakan mahkamah kerana jika ia berlaku skim ini tidak dapat membantu mereka bangkit semula,” katanya.

    Menurutnya, pihaknya juga mengingatkan usahawan yang mahu mengemukakan permohonan supaya berbincang dengan pihak bank atau hubungi BNMTELELINK bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ada Masalah Pembayaran? Sila Rujuk Pihak Bank Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top