My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 22 March 2016

    Peranan Tentera Halang Jenayah Sempadan

    DIPATAHKAN: Dua anggota berkawal di sekitar lori yang dipercayai dicuri sementara anggota lain mengesan pemandu dan kelindan yang lari ke ladang sawit berhampiran.

    Seorang lelaki dipercayai penjenayah dikehendaki berjaya ditangkap apabila cubaan melarikan sebuah lori dengan melintasi sempadan negara menuju ke Kalimantan, Indonesia berjaya dipatahkan oleh Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD), semalam. 

    Dalam kejadian sekitar jam 8.45 pagi itu, pegawai dan anggota yang sedang melaksanakan Operasi SERKAP di kawasan Serikin melihat sebuah lori satu tan jenis Toyota Hiace, dipercayai milik sebuah syarikat dalam keadaan agak mencurigakan.

    Ketua sub unit kemudian mengarahkan anggota supaya menahan kenderaan tersebut untuk pemeriksaan, namun pemandu dan kelindan bertindak memberhentikan kenderaan tersebut lalu keluar melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit berhampiran.

    Pegawai dan anggota lain seterusnya berpecah untuk mengejar kedua-dua individu tersebut, sementara dua anggota tentera tinggal bagi mengawal kenderaan tersebut. Menurut satu kenyataan semalam, bagaimanapun hanya seorang berjaya ditangkap dalam ladang kelapa sawit itu manakala seorang lagi berjaya melepaskan diri.

    Pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan mencuri kenderaan, wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Indonesia, kad pengenalan serta lesen memandu, telefon bimbit dan kad bank tempatan. Kenderaan tersebut bersama tahanan yang dipercayai penjenayah yang sangat dikehendaki polis bagi kes bunuh dan curi kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Penahanan dan rampasan tersebut merupakan sebahagian daripada kejayaan dicatatkan oleh Batalion Ke-11 RAMD semasa melaksanakan operasi sepanjang perbatasan sempadan Sarawak-Kalimantan. 

    Ia bukan sahaja mengharumkan nama batalion berkenaan malahan Briged Ketiga Infantri Malaysia dan Tentera Darat amnya. Anggota Tentera Darat Malaysia khususnya di bawah naungan formasi Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dan Divisyen Pertama Infantri Malaysia serta briged setempat akan meneruskan komitmen dalam menjaga perbatasan negara dengan memberi kerjasama penuh kepada agensi kerajaan yang lain.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Peranan Tentera Halang Jenayah Sempadan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top