Bintang Arsenal, Mesut Ozil mendesak pengurus pasukan itu, Arsene Wenger supaya berbelanja besar bagi mengelak kan apa yang berlaku ketika ini pada musim depan. The Gunners hanya membeli Petr Cech dan Mohamed Elneny sebagai pemain baharu dalam tempoh 12 bulan, itu pun melalui dua jendela perpindahan berbeza iaitu Ogos dan Januari.
Ketiadaan pemain-pemain berkualiti termasuk krisis kecederaan yang sering membelenggu Arsenal menyebabkan peluang mereka muncul juara pada musim ini amat tipis. Sehubungan itu, Ozil percaya The Gunners mampu mencabar kejuaraan jika Wenger sudi berbelanja mewah untuk mendapatkan pemain-pemain baharu yang berkelas dunia selepas ini.
“Kami perlu melakukan sedikit pembaikan jika mahu berada di puncak pada musim depan.
“Memang menarik untuk melihat pemain baharu yang bakal dibeli dan berapa jumlah harga perpindahannya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain tengah antarabangsa Jerman itu mengakui kehadiran Pep Guardiola dalam kancah Liga Perdana England musim depan akan menjadikan saingan tersebut lebih sukar berbanding sekarang.
“Semakin ramai jurulatih berkaliber menyertai saingan liga ini. Guardiola ialah contoh terbaik kerana beliau sentiasa mengecapi kejayaan biar di mana sekalipun beliau berada.
“Saya tertanya-tanya apakah yang akan dilakukannya bersama Manchester City selepas ini tetapi paling penting, bola sepak di England akan menjadi lebih menarik,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment