Musim keenam drama seram American Horror Story bakal menghantui layar kaca tidak lama lagi. Penerbit Eksekutif Ryan Murphy berkata naratif musim baru ini belum ditentukan lagi namun produksi sudah merangka dua idea berbeza.
“Menariknya, kami tidak pernah aplikasikan konsep sebegini dalam musim terdahulu,” katanya dalam temu bual bersama Entertainment World baru-baru ini .
Menurut Murphy, maklumat lanjut siri baru American Horror Story akan didedahkan selepas pihaknya memilih kisah terbaik. “Saya tidak akan mendedahkan apa-apa. Apa yang boleh dikongsi setakat ini, barisan pelakon musim lalu akan dikekalkan,” katanya.
Sebelum ini ada desas-desus mengatakan penyanyi Lady Gaga, pelakon Sarah Paulson dan Angela Bassett akan kembali beraksi untuk musim baru siri seram ini. Selain itu, ada spekulasi musim keenam mengisahkan lelaki misteri berperwatakan pelik yang gemar mengekori kanak-kanak.
Bagaimanapun, produksi terbabit menafikan khabar angin itu. Musim kelima American Horror Story yang tamat siaran pada Januari lalu mengisahkan kejadian seram dan pembunuhan di sebuah hotel.
Ia dibintangi Evan Peters, Sarah Paulson, Denis O’Hare, Lily Rabe, Kathy Bates, Angela Bassett, Chloe Sevigny, Finn Wittrock dan Wes Bentley. Manakala pelakon baru ialah Lady Gaga yang membawa watak utama, Cheyenne Jackson dan Max Greenfield.
0 comments:
Post a Comment