Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri merupakan pilihan dan aspirasi rakyat berdasarkan sistem negara berdemokrasi, kata Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kadamaian, Jeremy Malajad.
Sehubungan itu, beliau berkata Najib perlu diberi peluang untuk menunjukkan kemampuannya memimpin negara sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kita telah mendapat pemimpin berdasarkan aspirasi rakyat itu sendiri melalui sistem demokrasi yang bebas. “Saya ingat memang jelas kita pertahankan kepimpinan Najib sebab kita yang memang pilih beliau berdasarkan suara majoriti (melalui PRU),” katanya ketika ditemui pada pelancaran Kadamaian Nature Challenge di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas ‘Deklarasi Mahathir’ yang digerakkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri. Jeremy berkata rakyat tidak perlu terpengaruh dengan tindakan Dr Mahathir serta pembangkang dan seharusnya menunggu peluang untuk memilih pemimpin pada PRU akan datang.
“Tun Dr Mahathir cuba memberi satu persepsi kurang baik kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang ini seolah-olah tidak membawa sesuatu yang rakyat harapkan.
“Tetapi di sini (Kadamaian) kita terus yakin perdana menteri berupaya membawa kita ke mercu kejayaan berdasarkan apa yang kita nikmati sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Parti Bersatu Sabah Bahagian Kadamaian Demis Rumanti berkata Najib dan kabinet menterinya masih berupaya menjalankan tugas mereka dengan berjaya dan cemerlang. Beliau berkata selain menunggu PRU untuk menentukan kerajaan akan datang, rakyat juga perlu menilai sumbangan kerajaan dan pembangkang terhadap rakyat selama ini.
“Setakat ini di kawasan Kota Belud dan Kadamaian, saya tidak melihat apa-apa sumbangan pihak pembangkang terhadap pembangunan kawasan ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment