Kelmarin mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol dipecat berkuat kuasa serta-merta semalam menerusi keputusan sebulat suara semua pembesar adat Luak Johol.
Orang Besar Balai, Datuk Jenang Zakaria Mohammad berkata, pemecatan dibuat selepas Orang Besar Balai Berlima, Lembaga Berempat dan Buapak Berenam bagi Luak Johol bersepakat dalam kerapatan (mesyuarat) untuk memecat Mohd Jan.
“Pembesar adat Johol bersepakat untuk memecat Mohd Jan sebagai Undang dan menggantikannya dengan Datuk Baginda Tan Mas, Datuk Muhammad Abdullah sebagai Undang Luak Johol ke-15 ,” katanya semalam.
Datuk Muhammad merupakan Timbalan Undang Luak Johol, dan menurut Zakaria, pemecatan itu dibuat mengikut adat luak. Difahamkan, pemecatan Mohd Jan mula disebut dalam kalangan penduduk negeri ini selepas isu pengurniaan darjah kehormat dan penghargaan oleh Balai Undang Luak Johol pada 10 Ogos tahun lalu, adalah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Penganugerahan berkenaan pantas mendapat reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan yang menegaskan, kerajaan negeri tidak mengiktiraf sebarang penganugerahan yang dilakukan oleh Undang Luak Johol berkenaan kerana hanya mengiktiraf anugerah yang disampaikan menerusi Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Justeru, pemecatan ini tidak harus dijadikan modal politik sesetengah individu yang amat taksub berpolitik. Ini adalah hukum adat Negeri Sembilan yang jelas berbeza dengan negeri-negeri yang lain di seluruh Malaysia. Tidak kira siapa sahaja melakukan kesalahan, individu berkenaan boleh saja dilucutkan jawatan asal mendapat persetujuan dari semua pembesar negeri ini.
0 comments:
Post a Comment