Donald Trump dan Hillary Clinton menang besar dalam pemilihan atau kaukus Parti Republikan dan Demokrat di negeri Arizona kelmarin sekali gus mencerahkan lagi harapan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), pada 8 November depan.
Selain Arizona, kaukus di barat AS itu turut diadakan di negeri Utah dan Idaho. “Kemenangan lebih besar daripada jangkaan di Arizona. Terima kasih, saya tidak akan lupakannya!” kata Trump dalam mesej di akaun Twitternya.
Beberapa rangkaian televisyen AS mengumumkan Trump menerima 46 peratus undi berbanding Senator Ted Cruz dari Texas yang memperoleh undi 22 peratus dan 10 peratus undi untuk Gabenor Ohio, John Kasich.
Clinton pula menang dengan perbezaan lebih besar. Beliau mendapat 60.5 peratus undi berbanding 36.9 peratus undi pencabarnya, Senator Bernie Sanders.
Setakat ini, matlamat utama Trump adalah untuk mengumpulkan 1,237 undi perwakilan yang diperlukan bagi membolehkannya menjadi calon Parti Republikan pada pilihan raya Presiden AS nanti di samping menggagalkan usaha kepimpinan partinya untuk menyekat kempennya.
Selepas mendapat undi kesemua 58 perwakilan Republikan di Arizona, Trump kini mempunyai sokongan 741 perwakilan berbanding Cruz dengan 421 perwakilan dan Kasich hanya 145 perwakilan, lapor rangkaian berita CNN.
Sementara itu, Sanders mengatasi Clinton dalam kaukus Parti Demokrat di Idaho dan Utah, manakala Cruz pula menyingkirkan Trump di Utah. Kemenangan Cruz meningkatkan harapan dalam kalangan penentang Trump bahawa kemaraan taikun hartanah itu mungkin boleh dibendung atau diperlahankan.
Namun, kemaraan Clinton pula sukar disekat di sebalik kemenangan Sanders dalam kaukus di dua negeri berkenaan. Ini kerana jurang bilangan perwakilan yang diperoleh dua calon itu jauh berbeza dengan Clinton selesa meninggalkan Sanders.
0 comments:
Post a Comment